EN | BM
Sebagai Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, saya ingin menzahirkan kebimbangan saya berhubung insiden baru-baru ini yang telah memberi kesan kepada perniagaan kami.
 
Tindakan vandalisme ke atas premis restoran kami, antaranya papan tanda, semakin menjadi-jadi dan berleluasa. Tindakan ini mencetuskan tekanan dan keresahan kepada pekerja kami serta masyarakat sekeliling. Saya menghormati hak individu untuk menyuarakan pandangan, namun saya juga meminta orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa tindakan yang merosakkan harta benda.
 
Selain vandalisme, beberapa tindakan agresif terhadap pekerja dan pelanggan kami juga amat membimbangkan. Kita semua adalah rakyat Malaysia, justeru, tingkah laku sebegini amat menyedihkan dan tidak positif. Keselamatan pekerja kami, yang juga rakyat Malaysia, adalah keutamaan yang terpenting untuk kami. Bersatu untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza adalah penting, tetapi ia tidak sewajarnya berlaku sehingga menyakiti sesama rakyat Malaysia. 
 
Sebagai orang Islam, tentunya saya juga berasa pilu dan perit terhadap apa yang berlaku di Gaza. Saya bersolidariti bersama saudara-saudara kita di Gaza dan sentiasa mendoakan keamanan dan kesejahteraan mereka. Kita semua mempunyai tanggungjawab kemanusiaan untuk membantu mereka dalam kemampuan tersendiri.
 
Demikian itu, sebagai sebuah perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam di Malaysia, komitmen kami terhadap tujuan kemanusiaan tidak pernah berbelah bagi. Kami sentiasa menyuarakan sokongan kami untuk rakyat Palestin dan telah menderma RM1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin. Selain itu, pekerja kami juga telah mengambil langkah proaktif dengan mengumpulkan dana lebih daripada RM100,000 untuk membantu mereka yang terjejas di Palestin. Kami berusaha dengan daya yang termampu, dan saya menggalakkan semua orang untuk turut melakukan yang sama.
 
Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk menyuarakan pandangan mereka dengan cara yang bertanggungjawab. Tindakan vandalisme dan keganasan tidak akan membawa apa-apa manfaat, malah lebih buruk padahnya. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk memperjuangkan Palestin ini dengan daya upaya yang termampu dan bertanggungjawab.
 
1 Jun 2024
Dato' Azmir Jaafar
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan 
McDonald's Malaysia