Sedekad McDonald’s Malaysia Prihatin Kepada Komuniti Di Bulan Ramadan
KUALA LUMPUR, 14 Mac 2024 – McDonald’s Malaysia meneruskan usaha kemasyarakatannya pada bulan Ramadan dengan menaja hidangan moreh ke masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara dalam Program Ramadan McDonald’s Malaysia. Program ini telah memasuki tahun ke-10 pelaksanaannya sejak ia dimulakan pada tahun 2015.
Program mengimarahkan bulan Ramadan ini dilaksanakan menerusi restoran-restorannya di seluruh Malaysia dan ia turut diperluaskan ke rumah anak-anak yatim pada tahun ini. Usaha ini diteruskan atas keprihatinan restoran khidmat segera terkemuka ini untuk menyantuni komuniti yang memerlukan bersempena dengan bulan Ramadan, selain daripada ingin berkongsi rezeki dengan masyarakat umum atas sokongan mereka terhadap McDonald’s Malaysia selama ini.
“Bulan Ramadan adalah bulan yang penting untuk kita sebagai umat Islam. Ia bukan sahaja mengenai keutamaan melakukan ibadat, tetapi juga menekan soal insan yang mana kita digalakkan untuk bersedekah bagi meringankan beban mereka yang memerlukan. Sebagai syarikat sepenuhnya milik orang Islam, McDonald’s Malaysia akan terus menjadi jiran yang prihatin kepada komuniti di sekitar lokasi operasi kami,” kata Dato' Azmir Bin Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.
Selain daripada tajaan hidangan makanan, McDonald’s Malaysia turut menyampaikan sumbangan Kotak Rezeki berupa barang keperluan harian kepada komuniti yang memerlukan seperti ibu-ibu tunggal dan keluarga yang berpendapatan rendah. Usaha ini adalah selaras dengan nilai teras syarikat untuk memberikan impak positif terhadap masyarakat dalam setiap inisiatif yang dijalankan.
“Setiap tahun, secara puratanya kami akan menjelajah ke hampir 300 masjid dan surau melalui restoran-restoran kami yang berada di seluruh Malaysia untuk menyumbang hidangan moreh McDonald’s. Pada tahun lalu, kami juga telah menaja moreh untuk pelajar-pelajar di 20 universiti awam bagi meringankan beban mereka dan meraikan Ramadan bersama,” tambah Dato' Azmir.
Bagi tahun ini, McDonald’s Malaysia membuka tirai program dengan mengunjungi Madrasah Al-Syukriah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Menurut Encik Hazlan Hamdan, Pengerusi Madrasah Al-Syukriah “Program ini sangat bagus kerana ia mendekatkan syarikat korporat dengan komuniti. Saya amat gembira dan bersyukur McDonald’s memilih madrasah kami untuk menjalankan program gotong-royong disini kerana ini merupakan syarikat korporat pertama yang bekerjasama dengan kami dan ia memberikan pengalaman baru kepada penduduk disini”.
Menurutnya lagi, penduduk Kampung Pasir Baru memang sinonim dengan budaya bergotong-royong memasak hidangan berbuka puasa dan kehadiran McDonald’s meningkatkan lagi semangat mereka untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan pada bulan Ramadan.
“Saya melihat program ini dapat mengeratkan tali ukhwah antara penduduk dan McDonald’s apabila mereka bekerjasama menyiapkan bubur lambuk dan hidangan berbuka puasa sejak pagi. Saya berharap McDonald’s dapat kembali pada Ramadan akan datang untuk meneruskan silaturahim yang terjalin pada hari ini,” tambah Hazlan Hamdan.
Sebagai syarikat 100% milik orang Islam, antara inisiatif lain yang McDonald’s Malaysia turut jalankan adalah pembayaran zakat korporat berjumlah hampir RM12 juta sejak syarikat itu mula membayar zakat pada tujuh tahun yang lalu. Pada tahun 2023 sahaja, sebanyak RM2 juta zakat korporat telah disampaikan kepada institusi zakat yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam di setiap negeri.
Inisiatif-inisiatif berteraskan komuniti ini adalah di bawah Program Komuniti McDonald’s Malaysia dan RMHC yang telah diperkenalkan pada tahun 2017. Program ini bertujuan untuk menyantuni masyarakat setempat yang berdekatan dengan restoran McDonald’s melalui pelbagai usaha dengan jumlah pelaksanaan aktiviti mencecah 19,000 program setiap tahun.
###