EN | BM

Seremban, 19 Oktober 2022 – McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia meneruskan usaha dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak melalui inisiatif Bulan Komuniti yang dikhususkan pada bulan Oktober setiap tahun. Inisiatif ini melebarkan sayap ke seluruh Malaysia termasuk Negeri Sembilan setelah berjaya melaksanakannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tahun ini juga merupakan tahun kedua sambutan Hari Jadi McDonald’s disambut di rumah-rumah kebajikan kanak-kanak. Kali ini McDonald’s Malaysia telah memilih Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al-Khair, Negeri Sembilan, sebagai lokasi seterusnya dalam usaha untuk meraikan hari jadi dan menceriakan 12,000 anak-anak yatim dari 400 rumah kebajikan kanak-kanak di seluruh negara. 

“McDonald’s sentiasa komited memastikan kesejahteraan masyarakat di sekitar lokasi operasi kami dan kami ingin menjadi ‘jiran’ yang prihatin kepada mereka yang memerlukan. Memberi impak positif dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat di negara ini adalah nilai teras syarikat yang amat diutamakan. Dengan gandingan RMHC Malaysia sebagai badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia, ia secara langsung mengukuhkan lagi capaian kami kepada pelbagai golongan masyarakat, terutamanya golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di negara ini,” ulas Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

“Program Komuniti McD & RMHC adalah usaha McDonald’s Malaysia untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak yang memerlukan. Pada tahun ini, aktiviti kemasyarakatan telah berganda kepada lebih 14,000 setakat ini, dan secara keseluruhan, McDonald’s dan RMHC membelanjakan lebih RM400 ribu bagi memeriahkan Bulan Komuniti pada tahun ini,” tambah Dato’ Azmir Jaafar.

Dalam pada itu, RHMC Malaysia turut meneruskan usaha mereka dalam membantu menambahbaik prasarana rumah kebajikan kanak-kanak melalui sumbangan 1,000 set tilam, bantal, dan cadar baharu kepada 20 rumah kebajikan kanak-kanak di seluruh negara. 

“Kanak-kanak mana yang tidak sukakan McDonald’s. Lihat sahaja wajah mereka di sini cukup teruja dan gembira dapat menyambut hari lahir dan meluangkan masa dengan melakukan aktiviti bersama warga McDonald’s. Saya kira memori ini akan menjadi kenangan manis mereka dan kami sangat berbesar hati kerana McDonald’s dan RHMC sudi menghulurkan sumbangan untuk menambahkan keselesaan kepada kami,” kata Encik Rahman Bin Haji Musa, Pengerusi Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al-Khair.

Bulan Komuniti ini dipandu oleh sebuah inisiatif utama yang dikenali sebagai Program Komuniti @ McD & RMHC yang memayungi segenap usaha kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh McDonald’s Malaysia dan RHMC Malaysia. Program Komuniti McDonald’s dan RMHC kini memasuki tahun ke-6 pelaksanaannya, sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2017. Lebih 7,000 aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan setiap tahun melibatkan warga kerjanya di seluruh negara.

###