RMHC Malaysia Rasmi Rumah Ronald McDonald Ketiga di Hospital Tunku Azizah, Catat 4,000 Keluarga Sejak Beroperasi
KUALA LUMPUR, 17 FEBRUARI 2025 – Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) mengadakan Majlis Perasmian Rumah Ronald McDonald (RMH) Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur sempena meraikan pencapaian empat tahunnya sejak beroperasi di hospital berkenaan.
Fasiliti kediaman sementara ketiga milik RMHC Malaysia itu dirasmikan oleh Abdulrahman Alireza, pemegang saham McDonald’s Malaysia dari Kumpulan Reza, Arab Saudi bersama Dato’ Haji Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia dan Dr Shamsul Anuar, Pengarah Hospital Tunku Azizah. RMHC Malaysia merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia dan telah menjalankan kerjasama dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Dalam majlis yang sama, Abdulrahman Alireza turut mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 kepada RMHC Malaysia, khusus bagi menyokong operasi kesemua Rumah Ronald McDonald di seluruh Malaysia. Sumbangan ini bertujuan menambah baik fasiliti dan operasi Rumah Ronald McDonald agar dapat memastikan lebih ramai keluarga menikmati kemudahan penginapan yang selesa semasa anak mereka sedang menerima rawatan di hospital.
RMH-HTA yang dibuka pada tahun 2021 sewaktu negara berdepan dengan wabak COVID-19, terletak di tingkat 10 kompleks parkir Hospital Tunku Azizah, dan dilengkapi dengan 20 bilik keluarga yang mampu memuatkan sehingga 80 orang penghuni. Antara kemudahan lain termasuklah ruang makan, ruang rehat, dapur, bilik dobi, surau, dan ruang permainan.
RMH ditubuhkan dengan tujuan untuk menyediakan penginapan sementara kepada keluarga pesakit pediatrik agar dapat mengurangkan beban kewangan dan tekanan emosi. Berkonsepkan ‘home away from home’, kemudahan yang disediakan adalah untuk membuat ibu bapa berasa seperti berada di rumah, antaranya bilik keluarga, ruang tamu, dobi, dapur dan ruang permainan kanak-kanak.
Menurut Dato’ Haji Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia, “RMH-HTA adalah sebuah fasiliti strategik di pusat perubatan kanak-kanak ibu kota yang memberikan kemudahan kepada keluarga dari seluruh negara untuk sentiasa dekat dengan anak mereka dalam persekitaran yang selesa dan pada harga berpatutan. Kami menerima kunjungan yang sangat menggalakkan, yang mana kira-kira 4,000 keluarga telah menetap di sini sejak fasiliti ini mula beroperasi. Perasmian ini bukan sahaja meraikan pencapaian RMH-HTA tetapi juga menghargai dedikasi doktor dan staf perubatan HTA dalam memberikan rawatan terbaik kepada kanak-kanak.”
Antara lokasi RMH yang lain ialah Hospital Canselor Tunku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) yang ditubuhkan pada 1999; Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada 2019; dan Hospital Wanita & Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) pada 2023.
Dalam pada itu, RMHC Malaysia turut merancang untuk membuka fasiliti RMH kelima di Hospital Umum Sarawak menjelang 2026 sebagai sebahagian daripada komitmen untuk memastikan akses kesihatan kepada kanak-kanak yang lebih baik di seluruh Malaysia.
###