EN | BM

GEMAS, 18 JANUARI 2023 – Satu majlis penyampaian sumbangan melibatkan agihan Pek Kembali Ke Sekolah oleh Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia dan saluran dana peribadi untuk Program ‘Felda Digital Maker Hub (FDMH): Coding & Robotic’ telah diadakan di Sekolah Kebangsaan (FELDA) Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan, hari ini.

Bagi tahun 2022, sejumlah RM1.5 juta telah diperuntukkan oleh RMHC Malaysia untuk menyediakan Pek Kembali Ke Sekolah yang diagihkan kepada kira-kira 25,000 kanak-kanak sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara. Pek ini sedang giat diagihkan secara berperingkat sebelum sesi persekolahan bermula pada Mac ini.

Melalui majlis yang diadakan hari ini, 260 kanak-kanak dari Sekolah Kebangsaan (FELDA) Pasir Besar menerima Pek Kembali Ke Sekolah, berjumlah RM26,000 secara keseluruhannya. 

Sementara itu, salah sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (FELDA) Pasir Besar menerima dana biaya sebanyak RM15,000 daripada Yayasan Jaafar Ahmad bagi menubuhkan Kelab Pengekodan dan Robotik di bawah program Felda Digital Maker Hub yang bertujuan untuk mentransformasi pendidikan digital di sekolah-sekolah FELDA. 

Yayasan ini merupakan yayasan yang ditubuhkan oleh Dato’ Azmir bin Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, merangkap Presiden, RMHC Malaysia, yang bertujuan membantu golongan yang memerlukan di sekitar Negeri Sembilan melalui inisiatif-inisiatif bermanfaat kearah kesejahteraan bersama. Nama yayasan ini diambil daripada nama bapa beliau iaitu Jaafar bin Ahmad yang merupakan seorang peneroka di FELDA Pasir Besar di Gemas, Negeri Sembilan.  

“Sebagai anak peneroka FELDA, saya rasa bertanggungjawab untuk menyumbang bakti kepada anak-anak FELDA di sini. Sekolah Kebangsaan (FELDA) Pasir Besar merupakan tempat saya mula menimba ilmu ketika di bangku sekolah rendah. Saya amat terhutang budi kepada guru-guru saya yang telah mendidik saya ketika itu. Sumbangan yang disampaikan hari ini merupakan hasrat saya untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan dan sebagai tanda terima kasih saya kepada sekolah yang telah membentuk jati diri saya sehingga berada ke tahap ini. Semoga sumbangan yang disampaikan hari ini mampu menyuntik semangat untuk anak-anak cilik FELDA di kawasan ini, sekaligus membolehkan mereka menjadi insan yang berjaya pada masa hadapan,” kata Dato’ Azmir bin Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, merangkap Presiden, RMHC Malaysia.

Sumbangan tersebut disampaikan kepada Encik Abdul Rahim bin Abdullah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (FELDA) Pasir Besar sambil disaksikan oleh Tan Sri Idris bin Jusoh, Pengerusi FELDA.

“Saya sangat berbesar hati kerana dapat hadir menyempurnakan majlis pada hari ini dan bertemu sendiri dengan salah seorang permata FELDA yang telahpun menempa kejayaan. Saya sangat berterima kasih kepada anak-anak FELDA yang telah menjadi insan berjaya hari ini dan tidak pernah lupa dengan asal usul mereka, seterusnya sudi tampil menabur bakti kepada FELDA melalui sumbangan yang diberikan,” kata Tan Sri Idris bin Jusoh, Pengerusi, FELDA.

-Tamat -