EN | BM

REMBAU, 4 JANUARI 2024 – McDonald’s Malaysia hari ini memulakan tahun baru 2024 dengan semangat berkobar-kobar melalui pembukaan rasmi restoran terbaharunya di Rembau, Negeri Sembilan – dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan. Pembukaan restoran ini bertepatan dengan misi pertumbuhan McDonald’s Malaysia, di samping menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi di negeri ini.

“Kami sangat gembira dengan pembukaan restoran terbaharu kami di Negeri Sembilan. Besar harapan kami agar restoran ini mampu meluaskan lagi penyampaian Delicious Feel-Good Moments atau kenangan terindah kepada para pelanggan, sekaligus menjadikan restoran McDonald’s sebagai restoran pilihan utama bagi masyarakat di sini. Kami juga berbesar hati dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan, di mana ia bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran diri, tetapi juga taraf ekonomi diri dan keluarga masing-masing,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Secara keseluruhan, terdapat 20 restoran McDonald’s di Negeri Sembilan setakat ini, termasuklah di Rembau. Bagi tahun 2024, dijangka tiga lagi restoran McDonald’s bakal dibuka di Gemas, Rasah dan Mambau bagi memenuhi permintaan para pelanggan di negeri ini. Kini terdapat 370 restoran McDonald’s di seluruh Malaysia dan mensasarkan pembukaan 750 restoran menjelang 2030.

Sempena majlis pembukaan yang diadakan, McDonald’s Malaysia dan badan kebajikan pilihannya – Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) menyumbang Pek Kembali Ke Sekolah bernilai RM120,000 kepada 800 kanak-kanak sekolah rendah daripada latarbelakang keluarga kurang berkemampuan di Negeri Sembilan. 

Sejak Program Pek Kembali Ke Sekolah ini ini diperkenalkan pada tahun 2017, seramai 157,000 kanak-kanak di seluruh negara telah menerima manfaat daripada program ini, termasuklah hampir 8,000 kanak-kanak di Negeri Sembilan. Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah dan miskin bandar, selain memberi motivasi kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan baru. 

“Perasmian restoran pandu-lalu McDonald’s Rembau ini merupakan majlis rasmi pertama yang diadakan pada tahun baru 2024. Kami berhasrat memulakan tahun baru ini dengan semangat jitu dan penuh tekad tak kira apa jua cabaran mendatang. Dengan pembukaan restoran baharu kami ini, ia juga secara langsung memberi peluang untuk kami mendekati dan menyumbang kepada golongan masyarakat yang memerlukan di sekitarnya. Ini sangat bertepatan dengan nilai teras syarikat yang sangat mengutamakan kesejahteraan dan mahu mewujudkan impak positif dalam masyarakat,” tambah Dato’ Azmir Jaafar yang juga merangkap Presiden RMHC Malaysia.

Dalam majlis sama, McDonald’s Malaysia turut mengambil kesempatan menyerahkan pembayaran zakat perniagaan bagi tahun 2023 berjumlah RM110,000 kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk diagihkan kepada golongan asnaf di negeri ini. Sebagai rekod, McDonald’s Malaysia mula membuat pembayaran zakat perniagaan setelah diambil alih oleh Reza Group pada 1 Disember 2016 dan sehingga kini sejumlah RM651,000 zakat perniagaan telah dibayar kepada Negeri Sembilan.

###