McDonald's Malaysia teruskan inisiatif kemasyarakatan ke pantai timur
KOTA BHARU, 13 Disember 2018 - McDonald's Malaysia, dalam satu majlis komuniti yang diadakan semalam, mengumumkan sumbangan berjumlah RM484,100 melibatkan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan kurang bernasib baik dan miskin tegar di Kelantan.
Inisiatif-inisiatif yang diumumkan di majlis komuniti tersebut termasuk sumbangan zakat, pelantikan belia asnaf ke program perantisan Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia, dan penyerahan pek "Kembali ke Sekolah" kepada 841 kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga miskin bandar di Kelantan untuk persiapan sesi persekolahan tahun 2019.
Sumbangan zakat McDonald’s
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr Haji Nik Mohd Azlan bin Abd Hadi dan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad menjadi tetamu kehormat bagi acara komuniti tersebut.
“Kami berterima kasih kepada McDonald's Malaysia kerana memenuhi kewajipan zakat kepada negeri Kelantan hari ini. Bukan itu sahaja, inisiatif lain yang diumumkan hari ini juga menunjukkankomitmen McDonald’s dalam melibatkan diri membantu golongan yang kurang bernasib baik," Dr Haji Nik Mohd Azlan berkata.
"McDonald’s Malaysia, di bawah pemilikan baharu Kumpulan Reza, telah memenuhi kewajipan zakatnya sejak tahun lalu, kerana ia merupakan entiti perniagaan yang 100% dimiliki oleh umat Islam. Kumpulan Reza adalah syarikat yang memiliki dan mengurus kesemua cawangan McDonald’s di wilayah barat dan selatan Arab Saudi secara eksklusif sejak 20 tahun lalu," Pengarah Kanan Sumber Manusia, McDonald's Malaysia, Azhar Darbi berkata.
Azhar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, turut berkata bahawa Ronald McDonald House Charities Malaysia akan terus melaksanakan kewajipan zakat apabila tiba masanya, kerana zakat adalah kaedah untuk mengurangkan kemiskinan dan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai umat Islam.
Program perantisan Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia
Program perantisan RMHC Malaysia adalah sebahagian daripada Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Kementerian Sumber Manusia. Pensijilan SLDN oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (DSD) yang merupakan salah satu usaha restoran khidmat segera ini untuk meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat serta memupuk bakat baharu.
"Kami mengalu-alukan para belia dari golongan asnaf di negeri Kelantan untuk menyertai program perantisan kami. Tempoh latihan adalah selama 18 bulan di mana para perantis akan menerima latihan praktikal dan pembelajaran teori di dalam kelas. Sebaik sahaja mereka menamatkan program ini, mereka layak untuk bekerja di restoran McDonald's sepenuh masa. Di samping itu, program ini juga membolehkan mereka untuk mempelajari kemahiran sepanjang hayat," kata Azhar.
Selain mendapat manfaat dari penajaan penuh program latihan, setiap perantis juga diberi elaun bulanan sebanyak RM1,200, faedah perubatan dan insurans, serta makanan percuma.
Program "Kembali ke Sekolah"
Majlis yang berlangsung di McDonald’s Pandu-Lalu Pengkalan Chepa ini turut menyaksikan penyerahan pek “Kembali ke Sekolah” yang merupakan program tahunan McDonald's Malaysia dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia. Program "Kembali ke Sekolah" mendapat sokongan francaisi dan rakan-rakan perniagaan McDonald’s, di mana ia bertujuan menghulurkan bantuan kepada lebih 17,000 kanak-kanak sekolah rendah dari golongan miskin bandar di seluruh negara dengan pemberian set pakaian sekolah baharu. Setiap kanak-kanak menerima 1 set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut sekolah, dan sebuah beg sekolah untuk persediaan memulakan sesi persekolahan tahun 2019. Keseluruhan sumbangan di bawah program "Kembali ke Sokolah" tahun ini adalah melebihi RM1.7 juta. Di Kelantan, seramai 841 orang kanak-kanak sekolah rendah dari golongan miskin bandar menerima pek ini.
Menurut Azhar, program "Kembali ke Sekolah" adalah amat penting untuk McDonald's dan RMHC kerana ia memberi bantuan kepada kanak-kanak sekolah rendah dari golongan kurang berkemampuan dan miskin bandar.
“Kanak-kanak adalah pemimpin masa hadapan negara, dan pengalaman pembelajaran yang mereka lalui adalah sesuatu yang amat penting bagi kami. Melalui program “Kembali ke Sekolah”, kami berharap usaha ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan keluarga kanak-kanak yang terlibat dan memberi motivasi kepada kanak-kanak ini untuk memulakan tahun persekolahan yang baharu dengan penuh keyakinan,” tambah Azhar.
Rumah Ronald McDonald ke-2 di HUSM
Menurut Azhar lagi, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) turut meluaskan inisiatif kemasyarakatan di Kelantan dengan penubuhan Rumah Ronald McDonald (RMH) kedua di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan. Rumah ini merupakan rumah persinggahan yang menyediakan kemudahan penginapan kepada keluarga pesakit kanak-kanak yang menjalani rawatan di HUSM atau hospital lain di sekitar Kota Bharu.
RMH yang dijangka siap pada awal tahun hadapan merupakan kediaman berkelengkapan penuh dengan 18 buah bilik tidur, ruang makan, dapur, bilik dobi, bilik TV, bilik permainan, dan lain-lain kemudahan untuk penghuni.
Penubuhan rumah ini diharapkan dapat meringankan beban kewangan keluarga pesakit kanak-kanak yang terlibat di samping menyediakan kemudahan yang selesa dan berpatutan demi memastikan keluarga dapat berada dekat dengan anak-anak mereka.