EN | BM

KUALA LUMPUR, 15 September 2022 – McDonald’s Malaysia telah menyumbangkan hidangan McChicken percuma kepada 65,000 penunggang penghantaran atau rider di seluruh negara pada Jumaat lepas sebagai tanda penghargaan atas kegigihan dan kerja keras mereka setiap hari. Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif #MekdiBelanjaRider #LekluKitakanFamili #LekluMcDBelanjaRider oleh restoran perkhidmatan pantas itu bagi menggalakkan rakyat Malaysia agar turut sama menzahirkan penghargaan kepada wira dan wirawati yang tidak didendangkan dalam industri perkhidmatan iaitu para penunggang penghantaran kita.  

Selain daripada rider McDelivery Service (MDS), semua penunggang penghantaran lain juga telah diberikan peluang menebus hidangan McChicken percuma mereka di antara jam 2:00 hingga 5:00 petang pada 9 September 2022 di restoran-restoran McDonald’s di seluruh negara.

“Tidak kira hujan atau panas, kita sering melihat penunggang penghantaran bekerja keras tanpa mengira penat lelah sepanjang hari bagi memastikan kesemua hidangan dihantar tepat pada masanya kepada para pelanggan. Kita jarang mengambil berat terhadap rider ini yang membolehkan para pelanggan menikmati hidangan kegemaran mereka dengan selesa di rumah atau di pejabat, pada bila-bila masa dan tidak kira di mana jua. Menerusi inisiatif ini, kami mahu menggalakkan rakyat Malaysia agar bersama-sama menzahirkan penghargaan kepada semua penunggang penghantaran di luar sana; dan kepada semua rider ini, berehat dan nikmatilah hidangan McChicken percuma yang disediakan,” kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Dato’ Azmir Jaafar

Ibu kepada lima orang cahaya mata, Noorasshikin Binti Mohd Nor mendapat sumber kekuatan dan motivasi untuk laksanakan tanggungjawabnya setiap hari daripada anak-anaknya. “Saya bekerja keras adalah untuk anak-anak kerana menyara dan memberikan mereka yang terbaik dengan sepenuh kudrat adalah aspek kehidupan yang terpenting bagi saya. Saya amat bersyukur kerana suami menyokong kerjaya pilihan saya sebagai seorang rider.  Tambah lagi, dengan penghargaan yang berterusan oleh McDonald’s kepada semua rider di seluruh negara,  saya rasa kerja ini sangat  berbaloi apabila saya dapat menyara keluarga dan dihargai pada masa yang sama.”

“Sebagai ayah kepada empat orang anak, saya sentiasa mencari jalan untuk menyara mereka sambil menumpukan perhatian terhadap kerjaya saya. Saya adalah seorang jurutera IT dan atlet Perahu Naga kebangsaan. Saya mula bekerja sebagai rider secara sambilan kerana waktu bekerjanya yang fleksibel membolehkan saya masih komited sebagai jurutera IT dan atlet, dan dalam masa yang sama saya dapat menjana pendapatan tambahan. Tugas sebagai seorang rider sememangnya mencabar kerana kita perlu membuat penghantaran walaupun cuaca dalam keadaan buruk,” kata Muhammad Aliff Nur Bin Mohammad Yunus

“Namun semuanya jadi berbaloi setiap kali saya melihat senyuman yang terukir pada wajah pelanggan apabila saya berjaya menghantarkan makanan kepada mereka yang sedang menunggu dengan penuh sabar. Tiada apa yang dapat menandingi kegembiraan yang jelas terpancar di wajah mereka. Saya fikir inilah yang memberi motivasi kepada saya untuk terus menjadi rider dan memberikan perkhidmatan penghantaran yang terbaik,” tambah Muhammad Aliff.

“Saya mempunyai pengalaman selama lima tahun sebagai seorang rider dan setiap hari adalah hari yang menarik bagi saya. Pelanggan dan restoranlah yang membuat saya gembira menjadi seorang rider apabila mereka menghargai kami. Salah satu pengalaman manis yang tidak boleh saya lupakan ialah apabila rider dijulang sama seperti para petugas barisan semasa perintah kawalan pergerakan. Ini merupakan suatu pengiktirafan yang bermakna dan signifikan terhadap kerjaya kami dan apabila kami melihat wajah pelanggan yang gembira semasa menghantarkan makanan mereka, ia memberi kepuasan yang tidak terhingga dan sememangnya memberikan impak positif terhadap kerjaya saya,” kata Mohamad Khairan Hadafi Bin Mohammad Fauzi.

Bagi menzahirkan lagi komitmen dan pengiktirafan kepada penunggang penghantaran ini, kakitangan McDonald’s Malaysia dari ibu pejabat syarikat itu turut menyumbangkan tenaga untuk membantu kru  di restoran-restoran terpilih bagi menyantuni penunggang penghantaran semasa mereka menebus hidangan percuma yang disediakan.

“Terima kasih kepada semua penunggang penghantaran di seluruh negara atas komitmen anda yang berterusan dalam mengutamakan pelanggan, dan sentiasa melakukan yang terbaik untuk kita  semua,” tambah Dato’ Azmir.

Sebagai tanda penghargaan kepada penunggang penghantaran, sila kongsikan foto terbaik Abang dan Kakak Rider anda di dalam media sosial apabila mereka membuat penghantaran yang seterusnya disertakan dengan tanda pagar #TerimaKasihAbangRider #MekdiBelanjaRider #LekluKitakanFamili #LekluMcDBelanjaRider! 

-TAMAT-