EN | BM
Berkenaan dengan saman fitnah yang telah difailkan oleh McDonald's Malaysia kepada BDS Malaysia, kami ingin menekankan bahawa langkah ini diambil bagi memastikan semua pihak memahami dengan jelas tentang kedudukan McDonald's Malaysia dalam konflik yang berlaku di Timur Tengah ketika ini. Dengan hasil positif mediasi dan penjelasan yang dibuat oleh BDS dalam kenyataan terkini mereka, bahawa tindakan pengendali McDonald’s di Israel sama sekali tiada kena mengena dengan McDonald’s Malaysia, kami akan menarik balik saman fitnah tersebut.
 
Kami tetap teguh dengan pendirian kami untuk tidak menyokong dan tidak terlibat dalam sebarang konflik atau peperangan. Setelah beroperasi selama lebih empat dekad di Malaysia dan sebagai perniagaan 100% milik Muslim, kami berbangga menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat di negara ini. McDonald’s Malaysia juga tetap komited untuk bersikap telus, menjalankan perniagaan yang beretika dan melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap seluruh rakyat Malaysia.
 
Di tengah-tengah konflik yang melanda Gaza, kami sangat bersimpati dengan nasib mereka yang tidak bersalah di sana. Kami dengan tegas mengutuk semua bentuk keganasan dan berdoa agar peperangan segera tamat dan keamanan dapat diwujudkan secara berterusan. McDonald's Malaysia terus menyokong rakyat Palestin yang terkesan melalui sumbangan kami kepada Tabung Kemanusiaan Palestin dan pelbagai inisiatif pengumpulan dana oleh warga kerja kami untuk terus menyokong misi bantuan di Gaza.
 
Kami berharap keputusan yang dibuat hari ini membolehkan semua pihak berganding bahu dan menumpukan usaha mencari penyelesaian demi menegakkan keadilan.
 
Kenyataan dari Dato’ Azmir Jaafar
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan
McDonald’s Malaysia
22 Mac 2024