EN | BM

McDonald’s Malaysia membuka tirai Program Kongsi Rezeki Ramadan di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Kampung Peramu, Kuantan, semalam dan akan mengimarahkan 400 masjid dan surau sepanjang Ramadan.

KUANTAN, 23 Februari 2025 – McDonald’s Malaysia memulakan Program Kongsi Rezeki Ramadan bagi mengimarahkan ibadah puasa dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di masjid dan surau seluruh negara, bermula hari ini.

Aktiviti utama termasuk memasak dan mengedarkan bubur lambuk, menyampaikan Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian kepada komuniti yang memerlukan, serta menaja juadah moreh kepada jemaah selepas solat tarawih adalah antara inisiatif yang telah menjadi sebahagian daripada komitmen McDonald’s Malaysia setiap Ramadan sejak tahun 2015.

“Sebagai syarikat milik orang Islam, bulan Ramadan adalah detik yang amat kami nantikan kerana ia memberi peluang untuk kami menzahirkan penghargaan kepada masyarakat yang selama ini menyokong McDonald’s Malaysia, di samping mendekati keluarga yang memerlukan agar sumbangan kami dapat meringankan beban mereka dalam menghayati ibadah di bulan yang mulia ini. Lebih istimewa, usaha-usaha ini adalah satu bentuk ibadah yang sangat dituntut, dan tiada yang lebih membahagiakan selain melihat senyuman terukir di wajah mereka apabila disantuni.

“Selepas 11 tahun menganjurkan inisiatif ini di setiap Ramadan, kami berhasrat menggandakan usaha melalui aktiviti yang mengeratkan silaturahim dan mengimarahkan majlis ilmu, supaya ia memberi impak yang lebih positif. Pada masa yang sama, kami akan meneruskan sumbangan moreh di masjid dan surau” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia

Bagi menyemarakkan sambutan ini bersama komuniti setempat, McDonald’s Malaysia memilih empat lokasi sebagai tumpuan utama untuk mengadakan majlis ilmu dan majlis berbuka puasa, dimulakan dengan Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Kampung Peramu, Kuantan yang berlangsung hari ini sebagai acara pembuka tirai, dan akan disusuli di tiga lokasi lain iaitu di Shah Alam dan Datuk Keramat, serta sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Pantai, yang akan berlangsung pada Ramadan nanti.

Dalam majlis itu, McDonald’s Malaysia bersama rakan kerjasama daripada Pusat Zakat Pahang, Alam Flora dan Indah Water Konsortium serta komuniti setempat telah berganding bahu bergotong-royong membersihkan masjid dan kawasan persekitaran bagi mempersiapkan masjid untuk menyambut kehadiran jemaah beribadah nanti. Usaha ini akan turut diperluaskan kepada 50 masjid dan surau lain sebelum memasuki bulan Ramadan. 

McDonald’s Malaysia turut menyampaikan sumbangan Kotak Rezeki kepada komuniti Kampung Peramu yang memerlukan serta menganjurkan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang, Sahibus Saadah Dato' Haji Badli Shah bin Haji Alauddin.

Kemeriahan ini akan turut disusuli dengan satu lagi lokasi yang bakal dimeriahkan McDonald’s Malaysia iaitu Pesta Pelita Panjut di Kuala Kangsar pada 25 Mac 2025, bagi meraikan dan menyerlahkan tradisi unik masyarakat setempat dalam menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri. Sebagai tanda sokongan, 22 restoran McDonald’s Malaysia terpilih akan dihiasi dengan lampu gilap-gemilap sempena pesta tersebut.

Syarikat milik 100% orang Islam itu akan mengunjungi kira-kira 400 masjid dan surau untuk menyambut kemeriahan bulan yang mulia itu dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan melalui lebih 370 rangkaian restorannya di seluruh negara.

###

Pada acara semalam, McDonald’s Malaysia menerima kerjasama daripada Pusat Zakat Pahang, Alam Flora, dan Indah Water Konsortium serta penduduk setempat dalam aktiviti bergotong royong membersihkan kawasan masjid dan persekitaran

Lebih 100 sukarelawan menyertai aktiviti bergotong royong semalam di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Kampung Peramu, Kuantan, manakala hampir 50 restoran McDonald’s Malaysia turut menjalankan aktiviti yang sama di pelbagai lokasi serata negara

McDonald’s Malaysia turut menganjurkan majlis ilmu untuk komuniti setempat dan akan memperluaskan inisiatif ini ke tiga lagi lokasi yang akan menjadi tumpuan utama sepanjang Ramadan ini.