EN | BM

KUALA LUMPUR, 18 JUN 2024 – McDonald’s Malaysia sebagai syarikat 100% milik orang Islam membantu komuniti dengan menyumbangkan lembu bagi tujuan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.

Sebanyak tujuh ekor lembu korban disumbangkan oleh restoran perkhidmatan segera itu, yang mana lima ekor daripadanya diserahkan menerusi Program Korban Perdana 2024 anjuran Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (Yayasan Amal TYT Pulau Pinang), manakala dua ekor selebihnya diserahkan ke Madrasah Al-Syukriah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

“Hari Raya Aidiladha mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia disambut meriah oleh semua masyarakat yang datang bersatu untuk bergotong-royong menunaikan ibadah korban. Ibadah korban juga adalah satu peluang kepada yang berkemampuan untuk menzahirkan keprihatinan kepada komuniti melalui perkongsian rezeki terutamanya kepada golongan fakir dan miskin. Justeru, McDonald’s Malaysia menyertai ibadah ini sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat muslim dan kerana ia bertepatan dengan teras syarikat untuk menjadi jiran yang prihatin kepada komuniti di sekitar lokasi operasi restoran kami,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia. 

“Pemberian ini adalah satu cara untuk kami kembali menyumbang kepada komuniti yang memerlukan dan juga meringankan beban keluarga yang menerima daging korban ini untuk meraikan Aidiladha dengan gembira. Semoga sumbangan lembu korban pemberian McDonald’s Malaysia ini akan memanfaatkan kariah masjid dan surau yang menerimanya serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara komuniti” tambah Dato’ Azmir Jaafar. 

Dalam pada itu,  lembu korban sumbangan McDonald’s Malaysia diwakili oleh warga kerja McDonald’s yang asnaf, yang mana sebanyak 49 asnaf berkesempatan mengambil bahagian dalam ibadah korban pada tahun ini. Segala proses diuruskan oleh pihak penganjur dengan kerjasama pekerja McDonald’s Malaysia yang turut menyertai sesi gotong-royong melapah dan mengagihkan daging korban. 

Selain itu, McDonald’s Malaysia juga sentiasa berusaha mencari peluang untuk menyantuni komuniti melalui Program Komuniti McDonald’s & RMHC. Terbaharu, McDonald’s Malaysia telah menyambut Hari Bapa bersama 100 warga emas di Semenyih, menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama warga Kampung Banting Sabak Bernam dan sumbangan moreh ke masjid-masjid dan surau-surau sempena Ramadan, selain melunaskan pembayaran zakat korporat setiap tahun ke institusi zakat negeri-negeri. Dianggarkan sebanyak 19,000 aktiviti kemasyaratan dilaksanakan setiap tahun merangkumi segenap lapisan masyarakat.

McDonald’s Malaysia adalah sebuah syarikat 100% milik orang Islam dan pemilikan tempatan yang dimiliki oleh Dato’ Azmir Jaafar sebagai Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Tempatan sejak tahun 2017.

###