McDonald’s Malaysia & Kementerian Pendidikan Malaysia Iktiraf 25 Guru Luar Biasa
MELAKA, 15 Mei 2023 – McDonald’s Malaysia hari ini mengumumkan 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s 2023. Anugerah tahunan ini adalah usaha McDonald’s bagi menghargai warga pendidik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah memaparkan komitmen luar biasa dalam meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kemenjadian anak-anak murid mereka. Majlis pengumuman pemenang ini telah disempurnakan oleh YB Puan Fadhlina Binti Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia.
AGI McDonald’s ini merupakan inisiatif dan komitmen McDonald’s Malaysia dalam mengiktiraf dan menyanjung warga pendidik ‘luar biasa’ yang telah banyak menyumbang dan menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi madani.
Hasil dari kolaborasi kukuh KPM dan McDonald’s Malaysia, AGI McDonald’s 2023 telah berjaya meluas dan membongkar kisah guru luar biasa di serata Malaysia, ini terbukti apabila lebih dari 16,000 pencalonan telah diterima, melebihi tiga kali ganda dari jumlah pencalonan yang diterima tahun lepas.
“McDonald’s amat menghargai kerjasama strategik dan erat yang telah diberikan oleh pihak KPM. Kejayaan kerjasama ini telah meningkatkan jumlah pencalonan yang berlipat kali ganda pada tahun ini, melebihi 16,000 pencalonan. Kisah-kisah luar biasa yang diterima menunjukkan anugerah ini mendapat perhatian dan tarikan ramai serta merupakan platform masyarakat berkongsi kisah luar biasa guru kebanggaan mereka yang telah memberi impak dalam kehidupan mereka,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, yang turut hadir di majlis penyampaian AGI McDonald’s 2023 hari ini.
Bagi menghargai jasa dan menyokong usaha KPM untuk memberi fokus kepada kebajikan warga pendidik, tahun ini, McDonald’s Malaysia akan menyumbangkan peruntukan sebanyak RM5,000 untuk menaik taraf bilik-bilik guru di sekolah-sekolah penerima AGI McDonald’s ini bertugas, sebagai tanda sokongan yang lebih menyeluruh buat guru-guru luar biasa ini serta rakan sekerja di sekolah tersebut.
“Sumbangan peruntukan menaik taraf bilik-bilik guru ini merupakan antara usaha McDonald’s Malaysia menghargai jasa warga pendidik, bukan sahaja penerima AGI McDonald’s tetapi juga semua rakan-rakan guru di sekolah beliau kerana mereka juga sedikit sebanyak ada memainkan peranan disini. Hadiah ini juga sebagai tanda sokongan McDonald’s kepada inisiatif KPM dalam menjaga kebajikan dan memastikan kesejahteraan guru-guru,” tambah Dato’ Azmir.
McDonald’s juga tidak melupakan anak-anak murid yang telah mencalonkan para guru ini. Atas persetujuan dan kelulusan KPM, selain dari menerima trofi, sijil dan baucar bernilai RM500, mereka juga akan dihadiahkan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Ko-kurikulum (PAJSK) bagi inisiatif menghantar kisah-kisah menarik tentang guru-guru kebanggaan mereka. Markah ini akan dapat membantu melonjakkan pencapaian murid-murid dalam bidang ko-kurikulum, satu elemen penting dalam usaha ke arah kemenjadian murid.
Sejak pertama kali dilaksanakan pada tahun 2017, AGI McDonald’s telah dianugerahkan kepada 156 guru yang menjalankan tanggungjawab melebihi tugas hakiki dalam mendidik, memotivasi dan memberi impak kepada generasi muda negara.
Bagi merancakkan lagi sambutan Hari Guru dan menghargai para guru, McDonald’s Malaysia akan meraikan guru-guru Malaysia di semua 340 restoran-restoran McDonald’s seluruh negara sepanjang bulan Mei ini.
Tempoh pencalonan AGI McDonald’s 2023 telah mula dibuka pada 20 Mac 2023 dan berakhir pada 15 April 2023. Hadiah utama yang diterima oleh penerima AGI McDonald’s 2023 adalah wang tunai RM5,000, trofi dan sijil.
Para penerima anugerah ini telah dipilih oleh panel juri yang terdiri daripada wakil McDonald’s, pegawai-pegawai KPM dan pihak media.
###