McDonald’s dan Kementerian Pendidikan Hargai Golongan Pendidik Menerusi Anugerah Guru Inspirasi 2019
PULAU PINANG, 13 Mei 2019 – McDonald’s Malaysia dengan Kerjasama Kementerian Pendidikan menghargai 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2019 sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan hari ini.
Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2019 yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya ini menerima lebih 7,500 pencalonan daripada orang ramai antara 1 hingga 31 Mac 2019. Dari jumlah pencalonan yang diterima ini, 25 orang guru telah dipilih sebagaI penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s yang telah menjalankan tanggungjawab melebihi tugas-tugas hakiki dalam mendidik pelajar-pelajar mereka.
Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia Melati Abdul Hai berkata, pertambahan jumlah pencalonan dari 1,000 pada tahun pertama anugerah ini diperkenalkan pada tahun 2017 kepada lebih 7,500 tahun ini membuktikan bahawa Malaysia mempunyai ramai guru luar biasa yang sanggup berkorban tanpa mengharapkan balasan atau ‘go the extra mile’ dan lebih ramai rakyat Malaysia kini merasakan pentingnya penghargaan kepada golongan pendidik seperti ini di negara kita.
“Kami amat gembira melihat sambutan yang cukup menggalakkan terhadap pelaksanaan Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s pada tahun ini. Ia jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia amat menghargai golongan bergelar guru. Kami di McDonald’s merasakan pengiktirafan sebegini adalah wajar kepada golongan pendidik atas komitmen mereka yang amat memberi inspirasi,” kata Melati.
Melati juga mengajak rakyat Malaysia untuk membaca kisah pencalonan 25 penerima anugerah ini di www.mcdonalds.com.my kerana kisah-kisah guru ini mampu menyuntik semangat kepada guru-guru lain, malah pada masa sama mampu membantu meningkatkan lagi sistem pendidikan negara.
“Apabila kami membaca kisah-kisah inspirasi yang dihantar oleh rakyat Malaysia, ia membuatkan kami ingin melakukan lebih banyak lagi untuk para guru. McDonald’s Malaysia komited untuk mendekati masyarakat dan anugerah ini termasuklah inisiatif-inisiatif lain memainkan peranan dalam memberi sokongan dan penghargaan kepada ‘wira tidak didendang’ ini,” tambah Melati.
Datuk Dr Amin bin Senin, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia yang merupakan tetamu kehormat pada majlis tersebut telah menyampaikan Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2019 kepada 25 pemenang. Setiap 25 pemenang ini menerima wang tunai berjumlah RM5,000 dan sebuah trofi.
Dalam ucapannya, Datuk Dr Amin mengatakan bahawa guru merupakan tulang belakang negara dan pengiktirafan sebegini perlu diberikan kepada mereka yang berada dalam profesion mulia ini.
“Guru-guru mendidik generasi muda negara dengan penuh dedikasi agar pada masa hadapan, negara kita mempunyai golongan pemimpin yang berkaliber dan dihormati. Apabila golongan pemimpin masa hadapan ini mengharumkan nama Malaysia, janganlah kita lupa jasa guru yang gigih mendidik mereka,” kata Datuk Amin.
Datuk Amin juga mengakui bahawa Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s merupakan satu inisiatif kerjasama awam-swasta yang strategik, seiring dengan matlamat Kementerian Pendidikan untuk membolehkan pelbagai pihak turut serta secara aktif dalam membangunkan sistem pendidikan yang kukuh dan menyeluruh.
“Sektor swasta memainkan peranan penting dalam membantu kami mencapai aspirasi pendidikan negara memandangkan ia merupakan salah satu bidang tumpuan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025). Sektor swasta berfungsi sebagai rakan kerjasama penting untuk menambah baik inisiatif-inisiatif pendidikan awam,” tambah Datuk Amin.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada McDonald’s Malaysia atas pelaksanaan Anugerah Guru Inspirasi, dan mereka merupakan beberapa syarikat tempatan yang menganjurkan anugerah istimewa ini khusus untuk meraikan guru-guru inspirasi yang sanggup berkorban tanpa mengharapkan balasan. Saya berharap lebih banyak kerjasama awam-swasta seperti ini dapat terus diwujudkan.”
Sambutan Hari Guru Terbesar oleh McDonald’s Malaysia
“Bagi pihak McDonald’s Malaysia, saya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengiktiraf insan-insan hebat ini pada hari ini. Sistem pendidikan merupakan sesuatu yang kompleks dan di tengah-tengah sistem tersebut, terletaknya guru-guru berdedikasi ini yang menghadapai pelbagai cabaran tanpa meminta sebarang balasan,” kata Melati.
“Kerana itulah Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s dan inisiatif-inisiatif lain Hari Guru dilaksanakan bagi menyokong dan memastikan kemampanan sistem pendidikan negara kita. Kami cukup berbangga dapat menjadi sebahagian daripada usaha ini,” tambah Melati. Sejak tahun 2015, McDonald’s telah meraikan lebih 85,000 guru menerusi pelbagai program Hari Guru yang dilaksanakan.
Sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan, McDonald’s Malaysia akan memberikan baucar hidangan percuma kepada lebih 420,000 guru di Malaysia. Guru-guru boleh menggunakan baucar ini untuk menebus sama ada hidangan McChicken atau Filet-O-Fish di mana-mana restoran McDonald’s di seluruh negara mulai 16 hingga 20 Mei. Secara keseluruhan, hidangan percuma yang diberikan kepada para guru dianggarkan bernilai RM4.5 juta.
Selain mengajak rakyat Malaysia mencalonkan guru-guru kesayangan mereka menerusi Anugerah Guru Inspirasi dan meraikan para guru dengan hidangan percuma di seluruh negara, McDonald’s juga menganjurkan seminar motivasi di sembilan (9) lokasi di seluruh negara melibatkan lebih 4,500 guru. Seminar-seminar ini yang telahpun memasuki tahun keempat pelaksanaannya pada tahun ini telah disampaikan oleh pakar motivasi terkenal, Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah.
Selain itu, semua 278 restoran McDonald’s di seluruh negara telah mengadakan sambutan Hari Guru sepanjang bulan April lalu. Sambutan yang dibuat di restoran McDonald’s ini meraikan para guru dengan pelbagai aktiviti termasuklah permainan, sesi bergambar dan lain-lain lagi.