McDonald's rai 500 anak yatim dan asnaf di Selangor
Artikel dari Utusan Online
KLANG 19 Mei - McDonald's Malaysia (McDonald's) hari ini meraikan lebih 500 kanak-kanak dari 12 rumah kebajkan di Selangor dalam satu majlis berbuka puasa sempena Ramadan di Masjid Kampung Raja Uda di sini.
Majlis itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Pengarah Urusan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar berkata, majlis itu merupakan inisiatif tahunan McDonald's tetapi kali ini melibatkan jemputan anak yatim dan asnaf paling ramai pernah diadakan oleh mereka.
Menurutnya, dalam majlis itu pihaknya turut menghulurkan sumbangan RM10,000 kepada setiap 12 rumah kebajikan terbabit.
"Selain itu, setiap kanak-kanak juga menerima RM40 setiap seorang sekaligus menjadikan jumlah sumbangan keseluruhan berjumlah RM130,000.
"McDonald's juga komited meneruskan aktiviti tahunan lain sempena Ramadan tahun ini antaranya tajaan moreh di surau dan masjid sekitar restoran kami, di 26 institusi pengajian tinggi serta agihan kurma kepada orang ramai di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) terpilih," katanya di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Operasi LZS, Abdul Basith Abdul Hamid dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd. Razali Abdullah.
Sementara itu, Setiausaha MAIS, Datuk Bakhtiar Hussin menyuarakan rasa gembira kerana dapat bersama-sama McDonald's, LZS dan YIDE membawa kegembiraan kepada anak-anak yatim dan asnaf di bulan Ramadan yang mulia ini.
"Majlis seperti ini seiring dengan matlamat MAIS untuk menjaga kebajikan dan memberi sumbangan kepada golongan yang berhak menerimanya," jelasnya.