Kerjasama RMHC Malaysia, PlanToys Malaysia Bawa Keceriaan dan Pembelajaran kepada Kanak-kanak Autisme Menerusi Mainan Perkembangan Kanak-kanak
KUALA LUMPUR, 22 APRIL 2025 – Bersempena Bulan Kesedaran Autisme Sedunia, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) telah bekerjasama dengan jenama mainan lestari, PlanToys Malaysia, bagi mengedarkan mainan perkembangan kanak-kanak kepada kanak-kanak autisme di seluruh Malaysia.
Sebanyak 3,760 unit mainan perkembangan kanak-kanak telah disumbangkan menerusi inisiatif ini, bagi menyokong salah satu program utama RMHC Malaysia – iaitu Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) yang memberi manfaat kepada kanak-kanak kelainan upaya dan autisme di seluruh Malaysia. Selain itu, mainan ini juga akan diagihkan kepada 640 pusat autisme dan pusat berasaskan komuniti di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, bagi membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kaya dan inklusif.
Majlis penyerahan sumbangan ini berlangsung semasa kempen ‘Inclusion is Kindness’ Autsome 2025 yang diadakan baru-baru ini di Sunway Putra Mall – satu acara yang meraikan nilai keterangkuman dan sokongan terhadap komuniti autisme. Sebagai salah satu rakan kerjasama bazar tersebut, RMHC Malaysia mengedarkan mainan ini sebagai sebahagian daripada usaha jangkauan komuniti mereka. Bagi memperluas lagi impak inisiatif ini ke rumah, keluarga yang mempunyai anak autisme dan mendaftar sebagai ahli Autsome di pusat beli-belah tersebut juga akan menerima mainan ini secara percuma.
‘Autsome’, singkatan kepada “Autism is Awesome” ialah inisiatif oleh Sunway Putra Mall yang merupakan pusat beli-belah mesra autisme yang pertama di Malaysia. Ia menggalakkan kesedaran dan penerimaan yang lebih baik terhadap individu dalam spektrum autisme. Dengan ciri-ciri khas seperti bilik tenang, dinding deria, parkir khas, bantuan membeli-belah serta tawaran istimewa Hari Autsome, pusat beli-belah ini menyediakan persekitaran yang selamat dan menyokong untuk seisi keluarga.
Menurut RMHC Malaysia, inisiatif ini mencerminkan komitmen mereka untuk memperkasa kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang keupayaan dengan mewujudkan persekitaran yang inklusif dan menyeluruh. Presiden RMHC Malaysia, Dato’ Haji Azmir Jaafar berkata, “Program Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald merupakan antara usaha utama kami dalam membantu kanak-kanak berkeperluan khas, khususnya yang berada dalam spektrum autisme. Kerjasama bersama PlanToys Malaysia membolehkan kami meluaskan usaha ini melangkaui bilik terapi sensori – terus kepada keluarga dan para pendidik – bagi mempertingkatkan perkembangan kanak-kanak melalui aktiviti bermain yang bermakna.”
Sehingga kini, RMHC Malaysia telah menubuhkan 35 Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di seluruh negara. Ruang ini direka khusus bagi membantu kanak-kanak autisme serta mereka yang mempunyai keperluan perkembangan lain, untuk mempertingkatkan keupayaan pemprosesan deria, komunikasi dan kemahiran kognitif menerusi pembelajaran berasaskan permainan.
###