Ms Wong Fong Neong
From SM Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam
Nominated by Monisha Divantini a/p Gunsegaran
Terima kasih, Cikgu Wong. Itulah yang sentiasa tergambar di dalam kotak akal saya apabila mengenang jasa baik Cikgu Wong yang banyak memberikan dorongan dan semangat kepada saya untuk terus berusaha. Tahun 2019 merupakan tahun malang saya. Setiap kali menjelang cuti penggal sekolah, saya akan berasa tertekan, rimas dan murung kerana sekiranya saya balik ke kampung ( Pulau Pinang ) semasa cuti sekolah, saya tidak akan dapat balik semula ke sekolah ( Shah Alam ) selama beberapa minggu atau bulan. Saya berasal dari keluarga yang susah. Saya tidak mempunyai duit untuk membeli tiket bas 2 hala. Pekerjaan bapa saya pula tidak tetap sejak dipecat oleh majikannya. Kadang-kadang ada duit. Kadang-kadang tiada duit. Cikgu Wong berasa kasihan melihat keadaan saya. Oleh itu, beliau membuat keputusan untuk membantu saya. Cikgu Wong tahu saya sangat berminat dalam kursus Hair Dressing di sekolah. Untuk mengelakkan saya daripada tercicir dalam pelajaran, Cikgu Wong telah berjaya mencarikan saya beberapa orang budiman yang sanggup membiayai segala perbelanjaan duit tiket bas. Saya tahu Cikgu Wong juga merupakan salah seorang daripada budiman tersebut. Beliau bukan sahaja membantu saya mengatasi masalah duit tiket bas, tetapi juga sentiasa membelanjakan saya makan dan membelikan saya barang keperluan tanpa meminta balik satu sen pun. Saya sangat terharu atas tindakan beliau yang berusaha gigih tanpa mengenal putus asa untuk membantu saya menyelesaikan masalah. Kadang-kadang, saya terfikir untuk berhenti sekolah sahaja kerana saya tidak mahu menyusahkan orang lain. Saya rasa malu kerana rasa sendiri tidak berguna. Saya pernah bercakap dengan Cikgu Wong yang saya pernah bekerja sebagai seorang pencuci pinggan mangkuk di sebuah restoran di kampung semasa cuti sekolah. Satu hari saya bekerja selama 10 jam. Saya dapat duit sebanyak RM30.00 sehari bekerja. Saya rasa puas dan gembira kerana dapat duit. Jadi, saya memberitahu Cikgu Wong bahawa saya mahu mencuci mangkuk saya. Saya tidak mahu belajar lagi kerana saya mahu duit sahaja. Saya tak mahu menyusah guru dan juga ibu bapa saya untuk mencarikan saya duit untuk membeli tiket bas. Biarlah saya mencarikan duit untuk kedua-dua ibu bapa saya. Cikgu Wong berasa kecewa dan susah hati selepas mendengar keputusan saya tersebut. “ Adakah RM 30.00 sehari itu dapat membantu sekeluargamu untuk selama-lamanya, Monisha? Kenapa kamu mahu mensia-siakan bakatmu? Kenapa kamu tidak sambung belajar sahaja supaya kamu dapat memperoleh kemahiran yang lebih cekap dan pengetahuan yang lebih luas bagi membantumu untuk mencari satu pekerjaan yang lebih baik satu hari nanti? Bukankah itu lebih baik? Bukankah itu dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan sekeluargamu?” kata Cikgu Wong tanpa berhenti-henti. “ Tahukah kenapa Cikgu Wong mahu menolong kamu? Sebab keadaan kamulah yang membuatkan saya terfikir kisah silam saya, yang sama seperti keadaam kamu sekarang ini. Tetapi, Cikgu Wong seorang yang kuat semangat. Saya tidak mudah menundukkan kepala kepada nasib malang. Itulah saya dapat menjadi seorang guru yang berjaya sekarang ini. Kalaulah saya kalah kepada nasib pada masa itu, saya rasa saya masih bekerja sebagai seorang penjual surat khabar di kampung saya. Kalau kamu ada masalah kewangan, bolehlah beritahu saya. Saya akan cuba membantu kamu semampu yang boleh. Saya tidak mahu kamu berputus asa selagi kamu tidak mencuba dengan usaha gigihmu,” nasihat Cikgu Wong lagi. Akhirnya, dengan fikiran yang waras dan rasional, saya telah membuang segala fikiran negatif di dalam kotak akal saya. Saya mahu belajar lagi. Saya mahu lulus Sijil Kemahiran Malaysia ( SKM ) dengan cemerlang pada tahun ini ( 2020 ). Saya tidak mahu mengecewakan harapan seorang guru yang prihatin dan sentiasa memberikan saya dorongan dan motivasi untuk terus maju jaya. Saya tahu saya hanyalah seorang murid OKU. Namun, hati dan mata saya bukanlah OKU. Tanpa dorongan dan kata-kata azimat Cikgu Wong, saya rasa saya masih mencuci pinggan mangkuk di kampung. Saya berharap agar satu hari nanti, saya dapat membuka sebuah salun rambut sendiri. Cikgu Wonglah pelanggan VVIP yang pertama di kedai saya pada masa itu. Saya akan membantu cikgu menyelesaikan rambut uban di kepala cikgu secara percuma. Hahaha........ Sekali lagi saya ingin ucapkan, terima kasih Cikgu Wong. Cikgulah inspirasiku.