Inspiring Stories

Mr Solpian Bin Murad

From Sekolah Kebangsaan Batu 3, Kuantan

Mr Solpian Bin Murad's photo

Nominated by Nurul Ain Binti Abdullah

 

A good teacher is like a candle - it consumes itself to light the way for others.  ~Mustafa Kemal Ata, translated from Turkish - (Guru yang baik itu ibarat lilin membakar dirinya sendiri demi menerangi jalan orang lain.)

Inilah ungkapan terbaik buat insan luar biasa yang telah mengabdikan dirinya demi melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Cikgu SOLPIAN BIN MURAD, nama yang sentiasa segar dan tidak akan luput di dalam ingatanku buat selama-lamanya. Seorang pendidik yang amat berdedikasi, komited dan sememangnya dikurniakan oleh Illahi untuk menjadi pendidik.

Aku mengenali Cikgu Solpian pada tahun 2005 semasa di dalam darjah 5. Beliau guru Bahasa Malaysia. Beliau merupakan seorang guru yang amat mengambil berat tentang perkembangan pembelajaran anak-anak muridnya. Di kala itu, aku baru sahaja mula pandai membaca dan mengira kerana aku sebenarnya antara murid yang agak lambat menguasai kemahiran-kemahiran tersebut. "Biar lambat asalkan lama-lama dapat". Itulah antara pesanan guru kesayangan kami. Beliau telah mengajar kami dengan pelbagai teknik tanpa jemu. Setiap hari, mesti ada sahaja tugasan yang diberikan kepada kami samada latihan-latihan tatabahasa, membina ayat dan juga menulis  karangan. Dan, yang pastinya kesemua itu akan disemak pada keesokkan harinya. Jika ada berlaku kesalahan, kami diberi peluang untuk membuat pembetulan. Menjelang hujung minggu, kami diambil dari rumah dan dibawa ke sekolah untuk aktiviti kelas tambahan sebagai pengukuhan. Pelbagai aktiviti dapat dijalankan pada waktu tersebut termasuklah tayangan video dan  nyanyian berkaitan pembelajaran yang tidak dapat dilaksanakan di dalam kelas kerana kekangan masa. Lama-kelamaan, aku dapat menguasai kemahiran-kemahiran tersebut mengikut tahap kebolehanku. Abah dan mama begitu gembira mendengar berita gembira ini.

Tahun 2006, aku beriltizam dan bertekad untuk memperoleh keputusan UPSR yang terbaik tanpa ada subjek yang gagal. Namun, takdir Allah swt telah menguji kami sekeluarga. Abahku...Abdullah bin Daud telah meninggal dunia pada 28/01/2006 tatkala kami sekeluarga amat-amat memerlukannya. Aku dilanda kemurungan. Aku tidak dapat menerima hakikat yang aku bergelar "anak yatim". Aku malas ke sekolah. Aku asyik menangis dan menjadi pendiam. Aku hilang minat untuk belajar.

Sesungguhnya Allah swt  Maha Pengasih dan Maha Mengetahui. Cikgu Solpian segera bertindak menyelamatkan situasi. Beliau telah berusaha dengan memotivasi,  memberi tunjuk ajar, menyuntik semangat dan dorongan untuk aku terus berusaha mencapai cita-cita dan impian keluargaku untuk ke Menara Gading. Akhirnya,aku bangkit semula. Aku berusaha dan terus berusaha sehingga mencapai keputusan 3A dan 2B dalam UPSR. Tiada subjek yang gagal. Terima kasih buat Mama dan abang long serta Cikgu Solpian yang trus menerus mennyokong dari belakang demi kelangsungan hidupku.

Kini, anak "YATIM PIATU" ini (Arwah Mama juga turut meninggalkanku pada 14/10/2012) telah pun berjaya menggapai impian keluarga biarpun arwah abah dan mama tidak sempat menyaksikan semua ini. Aku sedang mengikuti Pengajian di dalam Bidang Pengurusan Teknologi Industri di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di dalam Semester Dua.  Doaku untuk kalian, semoga Allah swt terus merahmati dan mengurniakan syurga buat insan-insan teristimewa di dalam hidupku ini... Aamiin..Aamiin..Ya Rabbal Al-Aamiin...

Khas untuk Cikgu Solpian Bin Murad....

Guru adalah Pelitaku

Engkau telah membimbingku;

Engkau senantiasa mendidikku;

Engkau pelita kehidupanku;

Yang memberikan cahaya saat gelap;

Air ketika aku kehausan;

Dan cinta kala hati ini  sedang gundah gulana;

Jasamu bak lautan luas dan dalam;

Begitu dashyat, besar dan banyak;

Maka, lisanku senantiasa berkata;

Terima kasih, wahai engkau;

Guruku Pelitaku.....

 

Read More