Mr Othman Bin Markom
From Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka
Nominated by Muhammad Amirul Ejaaz Haziq Bin Mohd Fauzi
Aku adalah seorang pelajar di Sekolah Henry Gurney Melaka. Atas kesalahan yang aku lakukan, aku dihantar untuk menjalani pemulihan di sekolah tersebut. Aku hampir berputus asa apabila dimasukkan di sini. Duniaku menjadi gelap kerana aku rasakan tiada lagi cahaya untuk masa depanku. Selepas 3 bulan menjalani orientasi seorang guru datang berjumpaku dan bertanyakan tentang diriku. Dia menawarkan kepadaku peluang untuk mengambil SPM. Ketika itu minat untukku belajar telah pudar sama sekali apatah lagi aku telah lama keciciran dalam pelajaran. Masyarakat pasti memandang hina padaku. Guru tersebut tidak berputus asa untuk berjumpaku pada setiap hari. Setiap hari dia memberikan nasihat dan motivasi sehingga akhirnya aku menyahut cabarannya dan kembali belajar untuk menduduki SPM kerana aku telah menganggap dia seperti bapaku. Dia telah membantu menyediakan keperluan sokongan persekolahanku dan rakan-rakanku yang lain.
Dia juga adalah guru Bahasa Melayu ku yang tidak kenal erti jemu mendidik di saat kami terpinggir. Aku mengambil SPM tahun lalu di sekolah tersebut dan berjaya mencapai 8A 2B. Sahabatku yang juga rapat dengan beliau mencapai 9A. Ketika beliau mengumumkan keputusan SPM kami berdua terus memeluknya. Insan paling gembira pastilah ibuku yang turut mengalirkan air mata. Kini aku menunggu peluang menyambung pengajian ke universiti sambil bekerja di sebuah restoran makanan segera. Kejayaanku dan sahabatku turut dikongsikan melalui rancangan Wanita Hari Ini TV3 pada 20 Mac 2018. Terima kasih Cikgu Othman bin Markom yang membawaku ke ladang-ladang ilmu dengan penuh kesabaran, tidak jemu mendidik dan memotivasikan diriku agar tidak berputus asa sehingga aku berjaya mengharumkan nama keluarga dan menggembirakan ibu. Kejayaan ini sedikit sebanyak menyembuhkan luka dan derita ibuku sepanjang aku ditahan di sekolah juvana. Aku berjanji akan menjadi anak yang berjasa kepada keluargaku dan negaraku.