Nominees

Mr Encik Lim Chee Chin

From SMK Kangkar Pulai

Nominated by Chen Kai Ling

Cikgu Lim Chee Chin, adiwiraku. Beliau ialah tulang belakang di sebalik penubuhan St. John Ambulans di Sekolah Menengah Kebangsaan Kangkar Pulai, Johor semenjak tahun 2012. Seorang guru muda yang berjiwa besar, beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk mewujudkan unit ini di sekolah ini, di sebuah sekolah di kawasan luar bandar. Beliau begitu bersungguh untuk menarik minat para pelajar untuk menyertai St. John Ambulans dan memahami fungsi unit ini. Walaupun pada awal penubuhan St. John Ambulans di sekolah ini tidak begitu ramai pelajar yang berminat dan guru-guru juga tidak memberikan sokongan yang sepenuhnya, Cikgu Lim Chee Chin tidak pernah berputus asa. Beliau mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit beliau dalam usaha menubuhkan pasukan kawad kaki St. John Ambulans. Beliau telah berjaya menyatukan pelajar-pelajar dari 3 bangsa yang berbeza, Melayu, Cina dan India. Suatu fenomena yang amat mengagumkan di SMK Kangkar Pulai yang tidak mampu dilakukan oleh unit lain! Setelah beberapa tahun berhempas-pulas menstabilkan St. John Ambulans, akhirnya, dalam 3 tahun belakangan ini, St. John Ambulans mampu muncul sebagai juara pertandingan kawad kaki peringkat sekolah, seterusnya mewakili sekolah di peringkat-peringkat seterusnya. Cikgu Lim Chee Chin juga turut dinobatkan sebagai Tokoh Guru di peringkat sekolah atas jasa dan sumbangan beliau, manakala St. John Ambulans pula muncul sebagai unit beruniform paling cemerlang di peringkat sekolah. Saya sebagai Pengerusi St. John Ambulans pada tahun ini, amat mengagumi guru saya ini, Cikgu Lim Chee Chin. Beliau bukan sahaja merupakan seorang guru Sejarah yang hebat, bahkan seorang perintis St. John Ambulans yang amat dedikasi dan tabah! Cikgu Lim Chee Chin, adiwira St. John Ambulans! Bersempena Hari Guru pada tahun 2019, saya berharap agar Cikgu Lim Chee Chin berjaya menggondol anugerah ini kerana beliau sememangnya layak!