Mr Mohd. Helmi Bin Abdul Manaf
From SMK Bakar Arang
Nominated by Syahrul Akmal Bin Zayanun
Jadilah insan yang terbaik di kalangan terbaik…. Kata azimat inilah yang telah diungkapkan kepadaku sewaktu aku masih bersekolah di SMK Pinang Tunggal, Kedah. Cikgu Mohd. Helmi Bin Abdul Manaf merupakan insan yang pada waktu itu merupakan seorang Pegawai Tadbir Kadet Remaja Sekolah Kuala Muda/Yan. Aku mengenali Cikgu Helmi sewaktu aku berada di Tingkatan 4 tahun 2009 dan pada waktu beliau menguruskan Kursus Kenaikan Sarjan Kuala Muda/Yan. Beliau merupakan seorang guru yang amat mengambil berat tentang perkembangan kokurikulum sekolah, daerah, negeri dan juga kebangsaan. Pada waktu, aku terlibat dengan pasukan Kadet Remaja Sekolah SMK Pinang Tunggal. Kebetulan isteri beliau juga merupakan guru Bahasa Inggeris di sekolahku. Maka hubungan kami ini agak akrab. Detik bagaimana aku terlibat dengan lebih aktif lagi dengan kokurikulum. Segalanya bermula dengan sepasang kasut. Pelikkan…..Tapi itulah hakikat dan sejarahnya bermula. Kasut kawad yang dihadiahkan oleh Cikgu Helmi untuk kegunaanku dalam aktiviti di sekolah sewaktu kunjungan ku ke rumahnya. Berbekalkan dorongan yang diberikan termasuk dari guru-guru sekolah, aku telah berjaya mendapat kenaikan pangkat Sarjan di dalam kursus yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda/Yan. Bermula dari detik itu, aku tidak menoleh ke belakang lagi. Aku cuba menjadi kadet yang terbaik dengan iltizam untuk menaikkan nama sekolah di samping melatih rakan-rakan yang lain untuk kepimpinan, ilmu kawad kaki, ikhtiar hidup, kerohanian, dan lain-lain lagi. Detik yang ditunggu tiba jua akhirnya. Aku telah terpilih untuk kursus yang seterusnya yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kedah, iaitu Kursus Staff Sarjan yang diadakan pada tahun 2010. Berkat kesungguhan dan tanpa diduga, aku berjaya dalam kesemua ujian, dan akhirnya menjadi Staff Sarjan Kadet Remaja Sekolah. Apa yang dipelajari dapatku terapkan ilmu tersebut di sekolah. Sewaktu hari aktiviti kokurikulum di sekolah, pelbagai aktiviti dapat dijalankan pada waktu tersebut termasuklah slot semangat patriotik cintakan tanahair. Apa yang mengejutkan diriku ialah rupanya Cikgu Helmi ini merupakan seorang yang aktif dalam kokurikulum, bukan sahaja di dalam unit uniform, beliau juga aktif di dalam olahraga dan juga boling. Beliau merupakan ahli Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia dan jurulatih boling Bawah 12 Tahun Daerah Kuala Muda/Yan. Selain itu berkecimpung di dalam sukan Golf dan aktif menderma darah, dan telah menderma darah kali ke 60. Selain itu, apa yang membuatkan ku tidak sangka lagi, cikguku ini merupakan pegawai di dalam Rejimen Askar Wataniah yang berpangkat Kapten. Ini sekaligus menambahkan lagi perasaan hormatku kepadanya. Walaupun sibuk dengan tugasan di sekolah, masih lagi memberikan sumbangan untuk mempertahankan negara secara tidak langsung. InsyaAllah aku cuba jadikan dia idolaku. Selepas itu aku telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara, kampus Shah Alam. Mungkin rezekiku aku telah berjaya menjadi sebahagian warga PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan) di UITM. Selama tiga tahun aku telah menjadi latihan ketenteraan di situ. Akhirnya pada tahun 2016 aku telah berjaya ditauliahkan menjadi Lt Muda dan berkhidmat dengan Rejimen 501 Askar Wataniah. Kini merupakan tahun yang keempat aku menjalani kehidupan sebagai seorang tentera walaupun sukarela. Tapi kami merupakan barisan pertahanan kedua negara. Yang paling manis, kini aku juga mampu mengenggam segulung ijazah di dalam bidang Industrial Desigan. Terima kasih Kapt Mohd. Helmi B. Abdul Manaf…atas segalanya. Semoga tuan berjaya dunia dan juga akhirat. Kaulah idolaku Dedikasi khas utuk tuan (Kapt Mohd. Helmi B. Abdul Manaf) Sepasang sepatu Walaupun nampak lapuk Itulah detiknya bermula Memberiku inspirasi Keyakinan yang jitu Untuk terus melangkah ke hadapan Tanpa menoleh lagi ke belakang Tuan Ingin ku nyatakan dengan ikhlas Tanpamu Siapalah aku Dalam mengharungi detik ini Walaupun tidak seberapa Tetapi amat besar ertinya Terima kasih tuan…………