Nominees

Mr Mr Tee Tiong Seng

From Kolej Tingkatan Enam Pudu Jaya

Nominated by Damian Tang Tze Yaw

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Saya berasa bangga kerana saya bukan sahaja mempunyai seorang guru Biologi yang pandai mengajar, malah juga seorang mentor yang memberi dorongan kepada saya untuk menceburi bidang yang saya minati. Beliau ialah Mr Tee dan beliau merupakan guru saya di Kolej Matrikulasi Labuan (KML) pada sesi 2014/2015. Sebelum saya memasuki KML, saya merupakan seorang pelajar Tingkatan 6 Aliran Sains Fizik. Kebaikkan memasuki Tingkatan 6 ialah pelajar aliran Sains diberi peluang untuk memilih Fizik atau Biologi. Pada masa itu, saya telah memilih Fizik kerana Biologi merupakan subjek yang memerlukan banyak penghafalan , terutamanya dengan fasa-fasa saintifik serta gambar rajah yang complex dan susah difahami. Walau bagaimanapun, saya telah memilih untuk melanjutkan pelajaran di KML selepas diberi tawaran kerana kolej ini telah berjaya melahirkan ramai pelajar yang mencapai keputusan CGPA 4.0 dan pelajar berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam yang termasyhur dalam negara kita. Tetapi, pelajar KML Modul 1 dikehendaki mengambil kedua-dua Fizik dan Biologi untuk dua semester. 3 bulan sudah berlepas dan saya akan menduduki Peperiksaan Semester Program Matrikulasi (PSPM), yang juga merupakan peperiksaan yang paling utama pada semester tersebut dalam masa 1 bulan. Seperti apa yang dijangka, keputusan Biologi merupakan subjek yang paling teruk walaupun saya telah banyak membeli buku rujukan luar negara dan latihan. Saya masih gagal menguasai subjek ini kerana saya masih tidak dapat memahami konsep Biologi dengan baik. Penghafalan tanpa memahami falsafah tersebut merupakan satu cabaran yang amat besar kepada saya. Secara purata, keputusan Biologi saya berada dalam lingkungan B dan C sahaja. Saya berasa amat kecewa dengan keputusan saya dan bertambah bimbang dengan PSPM yang akan datang. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan , di situ ada jalan. Saya mengambil keputusan untuk meminta tunjuk ajar dari Mr Tee selepas menerima cadangan daripada pelajarnya yang telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Sebelum ini, saya memang takut kepadanya kerana dengar khabar, beliau merupakan seorang guru yang garang dalam kelas. Walau bagaimanapun, bagi menyelamatkan subjek ini, saya mesti berani menghadapi cabaran. Secara jujurnya, Mr Tee pada masa itu memang strict dengan pengajarannya tetapi saya amat terharu dengan kesabaran beliau untuk memberi tunjuk ajar walaupun masa itu bukan waktu pejabat. Beliau juga memberi saya nota-nota ringkas untuk memudahkan pembelajaran saya. Selepas mendapat tunjuk ajar daripada beliau, barulah saya sedar bahawa Biologi bukan subjek yang susah, malah satu cerita yang menarik kepada saya. Kebanyakkan falsafah Biologi sebenarnya berkaitan dengan proses hidupan. Biologi memang senang untuk dihafal selepas saya memahami konsep tersebut. Beliau juga menyediakan ujian lisan bagi saya ketika saya berjumpa dengan beliau. Ujian ini juga telah memberi saya galakan untuk membaca sebelum berjumpa dengan beliau kerana saya bimbang akan diberi hukuman sekiranya saya gagal menjawab soalan yang diberi. Akhirnya , dalam PSPM pertama, untuk kali yang pertama di KML, saya mendapat A dalam subjek ini. Saya amat bangga kerana saya telah berjaya mengharungi kebimbangan saya. Saya berasa amat bertuah pada semester yang kedua. Hal ini demikian kerana Mr Tee telah dipilih sebagai guru tutor saya. Seperti kelas beliau sebelum ini, beliau memang strict dalam kelasnya dan lebih serius berbanding dengan perjumpaan saya bersamanya sebelum ini. Kebiasaannya, saya akan duduk di belakang kelas kerana pada pendapat saya, pelajar yang duduk di depan kelas akan lebih mudah dipanggil untuk menjawab soalan. Padahal, bagi beliau, beliau lebih suka untuk memanggil pelajar yang duduk di belakang. Oleh demikian, saya telah banyak mendapat “saman” untuk menulis essei dan buat pembetulan bagi soalan yang tidak dapat saya jawab. Pada pemulaannya, saya mengaku saya memang tidak puas hati kerana saya banyak ditegur dalam kelas. Tetapi semakin lama, baru saya dapati bahawa saya dapat menguasai subjek tersebut dengan senang ketika membuat persiapan untuk ujian. Keadaan ini dapat dilihat dalam ujian pertama yang dijalankan pada semester tersebut. Saya berjaya memperoleh 98 markah dan ini merupakan markah yang paling tinggi dalam seluruh Kolej sehingga banyak pelajar cemerlang yang saya jejak sebelum ini telah meminta ajar daripada saya. Beliau bukan sahaja seorang guru yang memberi hukuman pembetulan kepada sesiapa yang gagal menjawab soalan, tetapi juga memberi hadiah kepada sesiapa yang mencapai keputusan cemerlang. Saya masih ingat beliau memberi saya sebatang pensel sebagai hadiah dan gambar pensel tersebut masih dalam Instagram saya. Dengan bimbingan beliau, saya berjaya mempeoleh A dalam subjek Biologi untuk PSPM semester 2. Secara puratanya, saya memperoleh CGPA 4.0 dalam program marikulasi ini. Apa yang lagi membanggakan ialah semua rakan kelas saya memperoleh sekurang-kurangnya B+ dalam subjek tersebut dan kelas saya merupakan kelas yang paling baik dalam pencapaian PSPM untuk subjek Biologi. Sejak menemui beliau di KML, barulah saya sedar bahawa saya lebih gemar untuk menceburi bidang Biologi , terutamanya dalam khusus biokimia. Beliau telah memberi saya inspirasi bahawa seorang guru yang mempunyai kesabaran yang tinggi, rajin dan tidak berputus asa akan melahirkan pelajar yang cemerlang. Beliau merupakan orang yang menyebabkan saya berizin untuk menjadi seorang guru. Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana beliau bukan sahaja membantu saya mencapai keputusan cemerlang, tetapi juga punca utama saya berjaya untuk melanjutkan pelajaran di universiti yang saya ingin saya masuki, iaitu Universiti Malaya. Universiti ini juga merupakan universiti yang dijejaki oleh beliau sebelum ini. Disebabkan Biokimia merupakan khusus yang saya ambil di universiti , nota beliau masih dibawa bersama saya sehingga semester terakhir. Secara jujurnya, nota beliau masih menjadi rujukan utama saya berbanding dengan buku rujukan yang didapati dalam perpustakaan kerana nota beliau senang difahami. Kesimpulannya, Biologi merupakan satu subjek yang menarik dan sehingga sekarang masih merupakan subjek kegemaran saya. Saya sentiasa akan membayang keadaan saya pada masa kini sekiranya saya tidak berjumpa dengan beliau. Saya berkemungkinan masih tidak akan menyukai subjek ini dan saya akan melibatkan diri dalam bidang yang bukan kegemaran utama saya. Bulan April 2015 merupakan kali terakhir saya berjumpa dengan beliau sehingga hari ini. Saya ingin memaklumkan kepada Mr Tee bahawa saya telah berjaya menunaikan pelajaran saya di universiti dan saya akan menghadiri konvokasi pada bulan Oktober tahun ini. Sekarang saya juga dapat bekerja dalam bidang yang saya gemari, iaitu sebagai seorang guru tuisyen untuk subjek Sains, khususnya Biologi dan Kimia. Saya berharap saya dapat menjadi seorang guru yang berjaya seperti beliau dan memberi inspirasi kepada murid-murid saya untuk menjadi pemuda yang mulia dalam masa depan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Budi guru harus kita hargai kerana merekalah yang memimpin kita ke arah kejayaan. Guru seperti Mr Tee diibarat lilin yang membakar diri sendiri kerana beliau telah banyak menggunakan masa beliau untuk menyediakan kepada pelajarnya, memberi kuliah terutamanya waktu menjelangi peperiksaan dan juga meluangkan masa lapang beliau untuk menjawad soalan-soalan yang diberi oleh pelajar. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas bimbingan beliau dan berharap beliau dapat melahirkan lebih banyak pelajar yang cemerlang dalam masa yang akan datang nanti. Harap kami dapat berjumpa lagi. #To think is to practice brain chemistry #KML1415 #classofBP5T22