Mrs STEPHANIE SUNGKIM
From SMK(A) TUN AHMADSHAH
Nominated by SITI MAHIRAH BINTI NORJELI
Sejak ujian pada awal tahun tingkatan 4, subjek Fizik jarang sekali lulus, kalau lulus, cukup makan sahaja markahnya. Masuk tingkatan 5, keadaan kekal sama. Saya dan kawan-kawan sering kali kecewa dengan diri sendiri . Malah, terasa menyesal mengambil aliran sains tulen. Namun, guru fizik , Madam Stephanie , seorang guru yang amat penyayang, berdedikasi dan sentiasa positif, tidak pernah berputus asa menaikkan semangat kami walau pun namanya selalu naik di mesyuarat kerana teruknya prestasi kami. Malah, dia membuat pelbagai aktiviti yang dapat menarik minat para pelajarnya untuk mencintai subjek fizik seperti kem dan pembelajaran yang berinovasi dan kreatif. Dia sering membuat kelas petang dan malam, secara free walaupun mempunyai anak di rumah. Malah, pelajar yang terlemah juga akan dibantu secara personal setiap waktu rehat. Walau pun mempunyai agama yang berbeza, tidak pernah sekali pun wujud masalah antara kami, malah beliau turut mewajibkan kami untuk berdoa setiap kali sebelum memulakan kelas. Pada hari-hari kritikal menjelang SPM, keputusan percubaan SPM kami amat menghampakan. Pada waktu itu, perasaan takut amat menguasai diri, tambahan pula, pelajar akan dikumpulkan bersama guru subjek dan dipersoalkan tentang keputusan kami. Ketika Madam ditanya pengetua, mengapa keputusan kami amat teruk, Madam berkata sambil tersenyum, "Saya percaya mereka, mereka yang tidak percaya diri sendiri. Yang penting, sembahyang kuat-kuat ". Kata-kata itu sangat membuatkan hati kami tersentuh dan kembali bersemangat. Jatuh bagai mana pun kami, Madam tidak pernah memarahi kami dan terus bersama kami hingga ke akhir SPM. Akhirnya, saya mendapat B dalam subjek Fizik, SPM 2018 . GPS juga meningkat. Madam juga pernah berkongsi, beliau mempunyai keputusan yang lebih teruk daripada kami suatu ketika dahulu, namun berjaya menjadi guru cemerlang dalam subjek Fizik. Kegigihan, keazaman dan impian beliau amat menginspirasikan. Tanpanya, kami mungkin tersungkur di tengah jalan. Terima kasih, Madam Stephanie!