Nominees

Mdm IVI MARLINDA BINTI DAUD

From MAKTAB SULTAN ISMAIL

Mdm IVI MARLINDA BINTI DAUD's photo

Nominated by MOHAMAD SHAHRIL BIN ROZALI

Tahun 2018 merupakan detik masa yang paling bermakna untuk saya sebagai seorang pelajar berstatus introvert. Berada di tingkatan empat pada tahun lepas, asalnya saya lebih dikenali sebagai seorang pelajar yang bersifat pemalu, pendiam, suka memendam rasa dan hanya menumpukan perhatian kepada diri sendiri. Saya juga kurang berminat untuk bergaul dengan rakan-rakan, apatah lagi jika ada dalam kalangan rakan itu yang lebih aktif, periang dan peramah. Namun, siapa sangka segalanya boleh berubah! Aura positif yang sentiasa dipamerkan oleh insan istimewa ini memberikan saya inspirasi untuk terus bangkit dengan yakin serta keluar daripada kepompong kehidupan pelajar yang introvert. Mengimbau kenangan awal tatkala mendapat tahu bahawa guru ini yang akan mengajar subjek Bahasa Melayu saya, makanya ada sedikit rasa resah dalam hati. Pelbagai persoalan muncul di benak tentang cara dan gaya pengajarannya nanti. Melihatkan air mukanya yang tegas dan penampilan yang penuh disiplin, saya telah melabelnya sebagai seorang guru yang garang dan susah untuk didekati. Namun begitu, sangkaan saya selama ini tentang dirinya jauh meleset. Tepat sekali kata pujangga Melayu, ‘tak kenal, maka tak cinta’ dan ‘jangan menilai sebuah buku hanya dengan melihat kulit luarnya sahaja.’ Guru ini lain daripada yang lain! Sesungguhnya ada satu daya tarikan tersendiri dalam diri guru ini yang boleh saya jadikan inspirasi untuk meraih kejayaan dalam hidup saya. Memiliki sebuah nama yang unik iaitu IVI MARLINDA BT. DAUD, masih terngiang-ngiang lagi ceritanya tentang pemilihan nama itu oleh ibu bapanya. Simbolik sejenis pokok bernama ‘English Ivy’ yang menjalar kehijauan, daunnya cantik bercabang tiga dan mudah dijaga, diharapkan aura tumbuhan itu sebati dengan dirinya agar sentiasa unik. Nyata, tempias keunikan namanya itu kini terbukti dengan kredibiliti yang ada pada dirinya. Bergelar seorang Guru Cemerlang Bahasa Melayu Gred DG48 pada usianya 38 tahun, guru yang lebih mesra disapa sebagai Cikgu Ivi ini dilihat sebagai seorang guru yang boleh menjadi sumber inspirasi kepada semua pelajar, termasuklah diri saya. Saya cukup kagum dengan semangat yang ada pada diri Cikgu Ivi dalam semua kerja buatnya. Baginya tiada istilah mustahil untuk mencapai sesuatu kejayaan, sebaliknya beliau sentiasa berpesan bahawa ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.’ Saya cukup teruja tatkala mengetahui satu lagi prinsip hidupnya iaitu ‘Fikir positif, pandang positif, tindak positif.’ Ceritalah apa-apa sahaja kepadanya tentang perkara yang berunsur negatif, pada pandangannya semua itu dilihat secara positif. Semakin mengenali Cikgu Ivi, semakin kuat semangat saya untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya dalam hidup. Cikgu Ivi begitu istimewa di mata saya kerana beliau tidak pernah melabel mana-mana pelajarnya, sama ada pelajar itu berada di kelas depan atau di kelas belakang. Padanya semua pelajar sama sahaja hebatnya kerana telah layak belajar di sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan iaitu Maktab Sultan Ismail, Kelantan. Roh seorang guru sangat kuat tatkala menyantuni para pelajarnya. Di samping mengajar Bahasa Melayu, beliau tidak pernah lupa mendidik kami dengan pelbagai nasihat keagamaan. Saya masih ingat pesannya kepada kami, “sebagai seorang anak lelaki, harus diingati bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu walaupun kamu sudah berkahwin”. Saya cukup terkesan apabila Cikgu Ivi sentiasa memulakan sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dengan doa khusus untuk mencari anak kunci pintu rezeki, inilah antara rahsia keberkatan pengajarannya. Walaupun bukan bergelar seorang ustazah, namun sentuhan kerohanian dalam didikannya dilihat sebagai satu kelainan untuk ‘mengikat’ hati para pelajar agar menyukainya. Cikgu Ivi jugalah yang berkongsi kepada kami tentang fadilat surah al-Fatihah sebagai kunci pintu rezeki, dengan menyedekahkan surah itu kepada ibu bapa secara istiqomah pada setiap pagi. Beliau cukup yakin akan talian hayat seorang individu terhadap Allah S.W.T. dalam semua hal kehidupan. Amat jarang saya melihat seorang guru yang bukan mengajar subjek agama untuk mengingatkan para pelajar tentang nilai-nilai murni sebegini ketika mengajarkan subjeknya. Seorang insan yang sentiasa tenang dan rasional dalam setiap perkara membuatkan saya terinspirasi akan dirinya. Tatariasnya cukup sederhana, namun sedap mata memandang dan sifat rendah dirinya begitu mempengaruhi kami sebagai anak murid beliau. Saya ingin sekali menjadikan Cikgu Ivi sebagai suri teladan yang sentiasa mencabar diri untuk berjaya dalam segala kerja buat. Cikgu Ivi pernah menceritakan kepada kami betapa beliau pada zaman kecilnya merupakan seorang yang sangat pemalu dan pendiam, seakan-akan hampir sama sifatnya dengan diri saya yang introvert. Tetapi melihatkan dirinya kini yang penuh optimis dan berani kala berkomunikasi, justeru saya terpanggil untuk mengetahui siapakah yang berperanan merubah secara total dirinya? Saya menemui jawapannya apabila beliau memberitahu suatu ketika dahulu gurunya telah membimbing beliau sehingga menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi dan sentiasa optimis. Saya semakin teruja untuk menjadi seperti Cikgu Ivi sekarang. “Guru bukan lagi ibarat lilin yang membakar dirinya... sebaliknya guru umpama sang mentari yang menyinari seluruh jagat raya dengan ilmunya, demi kemenjadian murid." Kata-kata ini bertepatan dengan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Cikgu Ivi dalam mendidik kami sebagai anak muridnya. Beliau tidak pernah mengeluh dan berputus asa mengajari kami di sekolah yang hanya mempunyai pelajar lelaki sahaja. Cabarannya amat hebat bagi seorang guru wanita untuk menarik perhatian murid lelaki terhadap subjek Bahasa Melayu. Subjek ini memerlukan fokus dan kemahiran berbahasa yang tinggi manakala bagi kami yang cenderung ke arah otak kiri ini sentiasa tidak dapat memberikan fokus dalam subjek yang dianggap mudah ini. Tetapi dengan pendekatan tersendiri oleh beliau kami mampu memperoleh markah yang cemerlang dalam subjek ini. Cikgu Ivi terkenal dengan ‘Teknik Bedah Siasat dan Kilir Jaya’ untuk menghasilkan karangan yang bermutu tinggi. Cikgu Ivi sentiasa dijemput untuk mengendalikan seminar teknik menjawab soalan, justeru kami amat bertuah belajar dengannya. Saya juga pernah gagal dalam subjek Bahasa Melayu, tetapi dengan teknik dan masa yang diluangkan selepas waktu sekolah dapat membantu saya cemerlang dalam Bahasa Melayu. Saya berazam untuk menghadiahkan keputusan A+ atau A bagi subjek ini dalam peperiksaan SPM 2019 nanti. Saya cukup berterima kasih kepada Cikgu Ivi kerana berusaha tanpa jemu untuk mengekalkan prestasi subjek ini, walaupun subjek ini dipandang remeh oleh para pelajar. Sikap dedikasi yang beliau tunjukkan amatlah saya kagumi dan boleh dicontohi. Selain itu, beliau juga cukup menepati masa dan sikap ini berjaya mengubah kami menjadi pelajar yang lebih menghargai masa. Di samping itu, dengan bantuan beliau juga saya dapat mengubah diri daripada menjadi seorang yang introvert kepada seorang yang lebih terbuka dan aktif dalam bidang kurikulum ataupun kokurikulum. Beliau memberikan saya semangat dan dorongan supaya berani bercakap serta menyuarakan pendapat dalam khalayak ramai. Teknik diskusi dalam kelas secara perkongsian pendapat memberikan saya peluang untuk ‘berbahas’ tentang sesuatu isu. Saya sentiasa tertunggu-tunggu apakah isu yang akan dikongsi atau ditanya semasa belajar dengannya? Seringkali nama saya dipanggil untuk berkongsi pendapat. Cuak pada mulanya ketika diminta membuka mulut untuk mengeluarkan pendapat, namun Cikgu Ivi tidak pernah merendahkan keupayaan kami. Semua pendapat pelajar diterimanya dan jika ada yang perlu ditambah baik, maka Cikgu Ivi akan melakukannya. Saya cukup percaya teknik pembelajaran sebeginilah yang telah berjaya menerapkan nilai keyakinan dalam diri saya. Cikgu Ivi cukup istimewa di mata saya kerana beliau mendekati saya dengan cara halus, tulus dan telus tanpa sekelumit rasa amarah mahupun kata nista. Segalanya berupa nasihat penuh hemah dan dibimbing dengan nasihat-nasihat yang lembut supaya mengubah sikap saya walaupun tidak secara menyeluruh. Cikgu Ivi selalu berpesan, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, makanya kata-kata ini menjadi inspirasi kepada saya untuk berubah sikap. Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana telah banyak mengubah saya menjadi lebih matang dan berfikiran terbuka, walaupun hanya dalam masa setahun tiga bulan mengajari saya. Cikgu Ivi merupakan seorang yang proaktif dalam menjalankan tugas beliau sebagai seorang guru. Misalnya, beliau banyak berkongsi maklumat tentang subjek-subjek lain untuk pengetahuan anak muridnya. Walaupun beliau merupakan guru Bahasa Melayu, namun kemahiran dan pengetahuan beliau dalam subjek lain juga cukup luar biasa. Beliau sentiasa merentas kurikulum Bahasa Melayu dengan subjek-subjek Biologi, Fizik, Pendidikan Agama Islam, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Apa yang lebih istimewanya, beliaulah satu-satunya guru yang menggunakan bahasa Melayu standard dan bahasa Inggeris ketika berkomunikasi, justeru saya melihatnya betul-betul memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris dalam kehidupannya. Hal ini memberikan inspirasi untuk saya lebih tekun belajar dan cuba menyeimbangkan semua prestasi subjek yang saya pelajari. Prinsip hidup yang beliau kongsikan amatlah memberi kesan kepada saya yang sebelum ini sering berputus asa jika mengalami kegagalan, tetapi kata-katanya telah menyedarkan saya bahawa ‘yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang’ jika tidak berusaha terlebih dahulu. Cikgu Ivi merupakan seorang guru yang serba boleh. Bakatnya bukan sahaja dalam bidang kurikulum, namun cukup bersemangat jika terlibat dalam aktiviti kokurikulum. Saya ingin menjadi seperti dirinya yang mampu bergelar graduan sarjana walaupun belajar semasa dalam alam pekerjaan. Pengetahuannya yang tinggi dalam ilmu linguistik membolehkan beliau mengajar subjek Bahasa Melayu dengan cemerlang. Sebut sahaja bidang koakademik bahasa, siapa yang tidak mengenali Cikgu Ivi? Beliau cukup sinonim sebagai jurulatih dan hakim semua pertandingan kobahasa seperti bahas, pidato, syarahan, forum, pantun, deklamasi sajak, syair dan permainan sahibba. Keterlibatan beliau dalam bidang ini telah menaikkan nama Maktab Sultan Ismail apabila mampu melahirkan para pembahas, pendebat, pemidato dan pemantun sehingga ke peringkat kebangsaan. Guru sebeginilah yang menjadi inspirasi kepada saya untuk merebut semua peluang selagi saya mampu melakukannya. Dalam bidang kokurikulum pula, Cikgu Ivi memiliki sijil sebagai jurulatih dan kepengadilan permainan bola tampar selain sangat berminat dengan aktiviti padang dan balapan. Semasa hari kejohanan sukan sekolah beliau juga merupakan seorang guru yang unik sekali. Saya berpendapat sedemikian kerana walaupun beliau merupakan guru rumah sukan Wong (hijau), namun beliau tetap memberikan sokongan padu kepada rumah sukan lain. Laungan semangatnya di padang kala pelajar bertanding cukup membuatkan saya terinspirasi untuk menjadi juara. Tidak cukup dengan itu, beliau turut menzahirkan semangat kesukanan dengan mengambil bahagian dalam acara guru. Sikap ‘sporting’nya itu sentiasa menarik perhatian saya, apatah lagi ketika memenangi acara sukan yang disertainya. Banyak yang saya pelajari dalam diri Cikgu Ivi, semangatnya begitu tinggi dalam semua kerja buatnya. Walaupun perkara ini kecil di mata orang lain, namun nilai yang tersirat di dalamnya amatlah besar. Saya amat kagum dengan sikap positif beliau. “Bersainglah secara sihat” merupakan kata-kata yang sering beliau ucapkan dan saya berjanji akan mengingati pesanan itu selamanya.  Jika lagu dan irama tidak dapat dipisahkan, Cikgu Ivi pula tidak dapat dipisahkan dengan buku-buku. Beliau banyak menelaah bahan-bahan ilmiah untuk dibacakan atau diterangkan kepada anak muridnya yang sedikit malas membaca. Kesungguhan dan ketekunan seorang guru menghabiskan masa supaya anak muridnya faham akan ilmu yang diajarkannya amatlah mulia. Benarlah kata-kata pujangga lama bahawa ‘Guru pelita hidup, tanpa guru siapalah kita’. Beliau yang jelas sentiasa bersemangat serta bermotivasi ini menjadi pendorong dan inspirasi untuk saya terus berusaha menjadi seorang yang sukses dalam hidup. Saya tidak mahu lagi terus berada dalam dunia introvert, sebaliknya ingin tampil seperti Cikgu Ivi yang sentiasa positif dan bersemangat juang. Saya cukup teruja apabila mendapat tahu beliau telah menerima Anugerah Pengetua iaitu ‘Guru Tanpa CRK & Cuti Sakit’ untuk tahun 2018. Saya berasa sungguh terharu dengan komitmen Cikgu Ivi dalam kerjayanya, seingat saya beliau pernah ‘hilang suara’ dan pastinya sukar untuk mengajar, namun beliau tetap hadir dan masuk ke kelas. Biarpun arahannya hanya berupa tulisan di papan putih, tetapi sebagai pelajar kami akur dan tetap bersemangat belajar. Penghargaan atau ‘reward’ daripada Cikgu Ivi untuk anak muridnya yang cemerlang dalam kerja buat subjeknya sentiasa kami tunggu-tunggu. Beliau tidak lokek untuk mengeluarkan sejumlah wang bagi meraikan kami. Setiap kali jika kami berjaya menyiapkan tugasan Bahasa Melayu dengan baik, pasti ada ‘reward’ yang diberikannya. Saya sendiri pernah mendapat coklat bersama-sama kawan yang lain sebagai hadiah kerana berjaya menyiapkan tugasannya. Selain itu, ‘reward’ berupa penebusan kupon di koperasi sekolah sentiasa diberikan oleh Cikgu Ivi. Biasanya Cikgu Ivi akan meminta pelajar-pelajarnya mengambil makanan berkhasiat dan air supaya kekal sihat kerana setahu saya Cikgu Ivi amat mementingkan gaya hidup yang sihat. Pada hemat saya, inilah salah satu inovasi dalam tindakannya yang membuatkan para pelajar termasuk saya telah ‘jatuh hati’ untuk terus mencintai subjek Bahasa Melayu. Cikgu Ivi bagi saya adalah seorang guru yang ‘satu dalam seribu’, sukar dicari seorang guru yang begitu kuat roh keguruannya untuk melihat kemenjadian para pelajarnya. Telah lama elemen 4K1N yang menjadi dasar PAK 21 diamalkan oleh Cikgu Ivi. Tidak mustahillah jika pada usianya yang baru mencecah 48 tahun tetapi akan berada di Gred DG54 tahun ini, amat bersesuaian sekali atas segala kecemerlangan yang ditunjukkannya dalam semua kerja buat. Saya mendoakan impiannya untuk bergelar Guru Cemerlang Gred Khas C Bahasa Melayu akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. Janji kami kepadanya, insya-Allah pada tahun ini saya dan semua murid Kelas 5 SIC 2 akan menganugerahkan keputusan SPM 2019 yang cemerlang kepada Cikgu Ivi sebagai tanda penghargaan dan terima kasih. Jasa Cikgu Ivi yang menjadikan kami seorang ‘orang’ tetap kami ingati selagi hayat masih ada. Paling penting, budi baik dan inspirasi Cikgu Ivi kini telah merubah gaya hidup saya daripada seorang introvert kepada seorang yang optimis dan mampu bersosialisasi dengan baik. Sekalung penghargaan dan terima kasih buatmu Cikgu Ivi! Cikgu Ivi... mengertilah Pelangi tiada bisa terpancar Dunia kan beku dan kaku Pun kehidupan tiada pernah bercorak tanpa semangatmu Kala puncak kegalauan terhampar Sepercik cahaya dalam diriku Yang terbias dari gerak tubuhmu Kau sinari jalan gelapku Dengan secangkir ilmu milikmu Duhai guruku… Kau pahlawan tidak didendang tak mengharap balas dan belas Kau pahlawan tanpa lencana jua pahlawan tanpa tanda jasa Kala aku tidak mengacuhkanmu Kau tak pernah mengeluh jua menyerah Demi mendidikku, mengajarku erti peritnya onak duri erti indahnya warna pelangi Wahai guruku… Tiada kata pantas kami ungkapkan Kecuali keramat terima kasihku tak terbalas semua baktimu semua lelahmu semua kasih sayangmu semua pengorbananmu jasamu kan abadi selagi nyawa dikandung badan TERIMA KASIH CIKGU!