Nominees

Mr Abdul Rahim bin Bujang

From Sekolah Tun Fatimah

Mr Abdul Rahim bin Bujang's photo

Nominated by Nazihah Wafi

Kerja sekolah tidak pernah disiapkan, meniru, tidur di dalam kelas dan datang lewat ke kelas. Perkara ini merupakan perkara biasa buatku. Tidak hairanlah jika aku sentiasa gagal dalam peperiksaan. Aku tiada tujuan yang tetap berada di sekolah yang berprestasi tinggi itu walaupun ramai pelajar luar yang berebut untuk memasuki sekolah ini. Semuanya berubah pada tahun akhir aku di sekolah ini apabila aku berada di kelas yang terakhir. Pada mulanya, aku sudah berputus asa dengan keinginan ku untuk mendapat 9A dalam SPM tetapi perasaan itu hanyalah sementara. Hadirnya seorang guru yang digeruni dan mengajar subjek yang sukar bagi para pelajar mengubah hari-hariku sepanjang tahun akhir aku di sekolah. Beliau sangat terkenal dengan kegarangannya yang mampu membuatkan pelajar-pelajar senyap ketika beliau berjalan. Sewaktu beliau masuk ke kelas buat kali pertama, kata-katanya yang penuh bermakna telah menaikkan semangat aku untuk terus belajar. "Walaupun awak berada di kelas terakhir, itu tidak bermakna awak tidak boleh melakukannya. Walaupun awak tidak hebat tapi awak ada cikgu-cikgu hebat yang boleh membantu awak menjadi seorang yang hebat ". Itulah kata-kata yang sentiasa aku ingat dan membuatkan aku mempunyai azam baru iaitu aku tidak akan berputus asa sehingga aku menduduki SPM. Beliau juga mengajar dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. Kadang-kadang aku tertanya di manakah kegarangan yang sering dirasai ku sebelum aku belajar dengannya? Kegarangannya kelihatan sewaktu terdapat pelajar yang tidak menyiapkan tugasannya dan tidak mendapat keputusan yang baik. Dua perkara yang perlu dijaga jika tidak mahu dimarahi beliau. Aku tahu bahawa dua perkara tersebut untuk kebaikan para pelajarnya, juga kerana beliau mengajar dengan penuh kesungguhan. Beliau sudah berumur tetapi masih mampu membuat kelas tambahan setiap minggu termasuklah hujung minggu dan hari cuti serta sanggup meninggalkan anak dan isterinya hanya untuk kejayaan para pelajarnya. "Sekolah cemerlang kerana murid-muridnya yang mendapat keputusan yang cemerlang bukan guru, kerana itulah awak perlu mendapat keputusan yang cemerlang", kata beliau. Aku sebak mendengar kata-katanya itu kerana beliau bersusah payah untuk kejayaan pelajarnya yang ramai tetapi aku? Tidak mampukah aku melalui keperitan menimba ilmu untuk kejayaan dan kesenangan aku sendiri? Tenaga daripada seorang guru yang berumur tetapi mampu dan tidak berputus asa mengajar ratusan pelajarnya subjek yang paling sukar iaitu matematik tambahan. Aku dapat merasai diriku yang baru pada tahun akhir aku berada di sekolah ini dengan kehadiran seorang guru matematik tambahan iaitu Encik Rahim bin Bujang seorang guru cemerlang. Kehadirannya dalam hidupku membuatkan aku tertanya-tanya jika aku yang hanya perlu membantu diri sendiri penat belajar, bagaimana dengan guru yang hanya seorang diri perlu membantu ratusan pelajar? Pertanyaan inilah yang membuatkan segala kepenatan, keperitan dan rasa berputus asa untuk belajar itu tidak lagi dirasai.