Mrs NORAINI BINTI ISMAIL
From SMK(P)SULTAN ABU BAKAR,MUAR,JOHOR
Nominated by NURUL NAJWA BINTI KAMARUDZAMAN
Dalam kehidupan seorang murid,guru merupakan insan terpenting yang mendidik mereka agar menjadi insan yang berguna kepada agama,bangsa dan negara. Guru yang berjaya dalam kerjayanya pasti menjadi inspirasi kepada murid-muridnya. Semasa saya menuntut di tingkatan 4 dan 5, terdapat seorang guru yang merupakan sumber inspirasi saya .Beliau ialah Cikgu Noraini binti Ismail yang kini bertugas di SMK(P)Sultan Abu Bakar,Muar. Cikgu Noraini merupakan guru tingkatan saya yang memiliki sifat lembut tetapi tegas,penyayang,bertanggungjawab,penyabar dan prihatin terhadap masalah muridnya. Perwatakannya yang penyayang menyebabkannya mudah didekati oleh murid-murid.Pada hari guru peringkat sekolah, cikgu Noraini sering mendapat Anugerah Guru Paling Penyayang. Sebagai murid saya melihat cikgu Noraini sanggup menyediakan makanan setiap kali dia mengadakan kelas tambahan pada hujung minggu agar murid-muridnya tidak berlapar. Cikgu juga sanggup datang ke rumah muridnya sekiranya rakan saya tidak hadir ke sekolah selama beberapa hari. Selain itu,cikgu Noraini juga seorang yang berhati waja dan melakukan sesuatu pekerjaan itu sehingga berjaya. Prinsip hidupnya iaitu,selagi hidup,selagi berjuang dan di mana ada kemahuan,di situ ada jalan membuktikan tidak ada yang mustahil di dunia ini sekiranya kita berusaha. Berkat kesungguhannya mendidik pasukan drama sekolah kami,sekolah kami telah menjadi juara dalam Pertandingan Drama Komsas peringkat Daerah Muar pada tahun 2014.Hasil didikan cikgu Noraini,sekolah kami juga pernah menjadi johan pertandingan Bahas Ala Parlimen pada tahun 2012 dan juara Pidato KPM pada tahun 2017. Saya amat mengagumi sikap cikgu Noraini yang mampu menggilap bakat anak-anak didiknya tanpa kenal erti penat dan jemu. Dalam bidang akademik pula,saya amat berterima kasih kerana dididik oleh cikgu Noraini yang tidak pernah mengamalkan pilih kasih. Cikgu Noraini sentiasa mengajar dengan penuh semangat dan tak lekang dengan cerita-cerita yang menimbulkan kesedaran kepada kami semua.Kami berasa seronok ketika Cikgu Noraini mengajar dan tidak mengantuk kerana Cikgu Noraini menggunakan pelbagai kaedah pengajaran yang menarik. Hasilnya,saya dan rakan-rakan meminati subjek yang diajar oleh cikgu noraini,iaitu subjek Bahasa Melayu. Cikgu Noraini juga amat mementingkan pengurusan masa dan sikap bekerjasama sesama kami bagi mencipta sesuatu kejayaan.Bagi Cikgu Noraini,setiap muridnya mempunyai potensi diri yang boleh digilap. Mereka boleh berjaya sekiranya rajin berusaha dan mengamalkan pengurusan masa yang berkesan. Setiap tahun murid-murid cikgu Noraini lulus cemerlang dalam Peperiksaan SPM meskipun mereka berada di kelas yang terakhir.Saya juga tidak terkecuali kerana saya juga tergolong dalam kelompok tersebut.Dalam Peperiksaan SPM 2018,hasil bimbingan dan dorongan daripada cikgu Noraini yang juga guru tingkatan kami,salah seorang rakan saya telah dinobatkan sebagai pelajar cemerlang aliran sastera. Cikgu Noraini telah mencipta sejarah dan membuktikan bahawa walaupun kami berada di kelas terakhir,namun kami juga boleh berjaya sekiranya kami rajin berusaha. Terima kasih cikgu Noraini kerana cikgu bukan sahaja guru kami tetapi kami telah menganggap cikgu sebagai ibu kami. Kami sayang akan cikgu.Cikgu banyak berkorban masa,tenaga dan wang ringgit demi kejayaan kami.Jasa cikgu tetap kami kenang sampai ke akhir hayat. Saya tetap menjadikan cikgu Noraini sebagai sumber inspirasi saya untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang siswi yang cemerlang seperti mana yang diimpikan oleh cikgu.Cikgu,kaulah penyuluh hidup kami.Jasa dan pengorbanan cikgu tetap saya dan rakan-rakan kenang sampai bila-bila. Tanpamu cikgu,hidup kami ibarat perahu yang terumbang-ambing di lautan. Cikgulah inspirasi saya!Semoga cikgu sentiasa sihat dan bahagia serta tabah menjalani kerjaya sebagai guru yang disenangi dan disayangi oleh anak-anak didikmu. Jasa cikgu tetap saya kenang sampai ke akhir hayat saya. Selamat Hari Guru Cikgu!