Nominees

Ms CHEAH LI NA

From KOLEJ VOKASIONAL SERI MANJUNG

Nominated by FATIHAH IRDINA LYN BT ABDULLAH

Guru yang saya calonkan ini merupakan seorang guru yang memiliki naluri guru sebenar. Saya tidak mahu bercerita tentang peranannya sebagai seorang guru di dalam kelas atau di mana-mana ruang di sebalik pagar sekolah. Apa yang ingin saya tonjolkan adalah sisi hebat beliau selain tugas hakiki yang telah tergalas dibahu sejak beliau menjadi guru. Ms Lina... hebatnya beliau kerana dia seorang pencinta kucing. Setiap kali pelajar atau staf kolej memberitahu ada kucing yang sakit, beliau lah orang pertama yang akan cuba merawat. Andai tidak mampu, beliau tanpa berfikir panjang akan membawa kucing tersebut ke klinik haiwan. Kos... beliau tanggung sendiri. Beliau akan pastikan kucing tersebut mendapat rawatan yang sepatutnya. Tidak cukup dengan itu, beliau akan menjaga kucing itu. Memastikan ia diberi makan dan ubat mengikut waktu. Beliau tidak akan melepaskan kucing tersebut selagi ia tidak sihat 100%. Sehingga saat ini, beliau telah merawat dan menjadi penyelamat kepada berpuluh-puluh ekor kucing. Dan tiga daripadanya telah menjadi 'anak angkat' beliau. Junior, Precious & Min Min, semuanya kucing liar dan terbiar, telah dijaga sebaik mungkin. Kucing-kucing inilah yang menemani beliau di rumah. Ini tidak termasuk kucing-kucing di kolej, yang sentiasa diberi makan dan mandi tepat pada masanya. Beliau digelar "Penyelamat Kucing" oleh kami, rakan-rakan sekerja beliau. Sifat kasih sayang yang sebati dalam diri beliau bukan sahaja terpancar melalui tindakan beliau menyayangi kucing, malah beliau juga antara orang pertama yang akan bersusah payah untuk membantu sesiapa sahaja yang kurang berkemampuan. Di bawah NGO The 3rd Force, beliau antara sukarelawan yang sangat aktif dalam misi-misi kemanusiaan. Dengar sahaja ada insan lain memerlukan bantuan, beliau dan beberapa orang rakan akan berusaha untuk menyantuni insan tersebut. Bertanya khabar dan mendapatkan maklumat tentang keperluan mereka. Setelah mendapat maklumat sahih, beliau akan terus ke pasaraya untuk membeli keperluan tersebut. Tidak kira hari cuti atau hujung minggu. Selain menjadi sukarelawati untuk The 3rd Force, beliau juga merupakan sukarelawati untuk Pusat Paliatif Manjung, Perak. Pusat ini bergiat aktif membantu pesakit-pesakit kanser yang memerlukan bantuan dari segi peralatan (secara percuma) dan sokongan moral. Beliau juga merupakan pencetus idea untuk Projek Telekung Kolej Vokasional Seri Manjung bersama Hospital Seri Manjung. Setiap dua minggu sekali, team beliau akan ke hospital untuk mengumpul kain-kain telekung untuk dicuci. Tugas mencuci ini ditawarkan kepada para pensyarah dan staf kolej. Sambutan untuk projek ini sangat memberansangkan. Selain mencuci, warga kolej juga akan menjahit atau memperbaiki mana-mana telekung yang koyak. Para pelajar juga mengambil bahagian dalam projek cetusan Ms Lina ini dengan menjadi skuad sukarelawan yang mengambil telekung dari hospital, melipat dan menghantar semula ke unit-unit atau wad-wad di hospital. Beliau juga merupakan pelopor bagi Projek Anak-anak Yatim bagi salah satu pondok di Lekir, Perak. Setiap tahun, beliau akan lancarkan tabung sepanjang bulan ramadhan. Hasil sumbangan akan digunakan untuk membeli pakaian serta keperluan raya untuk anak-anak yatim, orang tua dan mualaf di pondok tersebut. Pernah satu ketika beliau sendiri berpuasa selama beberapa hari di bulan ramadhan untuk mengumpul dana bagi projek ini. Projek ini telah berjalan hampir 10 tahun dan tidak pernah gagal mendapat sokongan daripada seluruh warga kolej. Itulah antara sumbangan dan hasil cetusan idea Ms Lina yang sentiasa menjadi inspirasi untuk kami. Beliau tidak pernah memilih individu berdasarkan agama, bangsa atau warna kulit. Setiap yang memerlukan bantuan, beliau sedaya upaya akan membantu. Moga pihak McDonald dapat memberi anugerah ini kepada beliau, sebagai satu penghormatan dan penghargaan kepada sumbangan beliau yang akan menamatkan perkhidmaan sebagai seorang guru pada tahun hadapan. Ms Cheah Li Na, dia seorang guru sejati.