Datin Rafidah Binti Mohd Nor
From Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang

Nominated by Najwa Nurfatihah Binti Nazri
GURU YANG HARUS DIVIRALKAN DI MATA DUNIA Ini kisah guru saya. Setelah lebih dari 20 tahun mengajar mata pelajaran Matematik Tambahan dan Matematik, keringatnya masih dicurahkan kepada pelajar. Saban hari diriku ini bersuara, “ bila nak bersara”, namun jawapannya seolah-olah masih beria untuk mendidik. Kadang kadang diriku ini seperti peribahasa “ anak di riba diletakkan, kera di hutan disusuinya” namun kami harus terus memberikan sokongan kepadanya kerana setiap keletihan yang dipancarkan oleh susuk tubuhnya adalah demi membina anak bangsa. Kerut wajahnya dan lingkaran gelap di bawah mata Cikgu Rafidah, tidak pernah dihiraukan, ini semua kerana membina masa depan pelajarnya. Bagiku, beliau adalah wira yang tidak didendangkan, ‘public figure’ yang tidak diviralkan dan masih bukan ‘ influencer’ yang mendapat bluetick di Instagram. Namun pengalamannya jelas dilihat apabila anak muridnya masih melawat setiap kali raya, dan masing masing berjaya menjadi manusia berguna. Sehingga kini, ada sesetengah pelajarnya melanjutkan pelajaran di kolej yang sama seperti diriku, pasti akan mengingati setiap memori bersama Cikgu Rafidah kerana cara pembelajarannya di dalam kelas Matematik Tambahan adalah sangat berbeza. Cara hukumannya tidak menyebabkan pelajar benci tapi lebih menyanyangi. Paksaan Cikgu Rafidah pasti akhirnya membuah hasil. “Magic Touch” beliau tidak pernah tak menjadi. Sedangkan diriku baru setahun jagung, hanya merasai 19 tahun erti kehidupan sudah mengalah seolah-olah itu penghujung dunia ku, tapi tidak bagi Cikgu Rafidah. Biarpun perlu berhenti sementara kerana faktor kesihatan yang tidak mengizinkan, tidak pernah sekali keluhan keluar dari mulutnya. Kesihatannya yang semakin merosot masih tidak mematahkan semangatnya untuk menjadi seorang guru. Beliau selalu berkata “ kena ada mindset suka pada sesuatu, baru boleh kehadapan”. Beliau telah menguatkan semangat lalu memohon kembali untuk menjadi guru di sekolah berasrama penuh namun bermulanya ujian baginya. Ditempatkan di SM Sains Hulu Selangor. Perjalanan sejauh 1 jam setengah dan perlunya menempuhi kesesakan lalu lintas dan jalan yang gelap mendaki bukit untuk ke Ulu Yam, hanya untuk menyampaikan ilmu. Setiap pagi diriku ini melihat, beliau menyiapkan sarapan suami dan anaknya seawal jam 5:30 pagi. Saya masih ingat katanya ‘ mak kena keluar sebelum subuh, kalau tak nanti masuk kelas lewat’ . Dedikasinya berterusan selama beberapa tahun, keluar sebelum subuh, berhenti di mana-mana untuk menunaikan kewajipan dan setelah matahari terbenam baru terlihat mukanya di depan pintu. Aku sendiri yang menangis melihat pengorbanannya dan beliau adalah idolaku. Apa yang lebih utama, biarpun kini beliau telah mendapat tempat semula di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, dekat dengan rumah, tapi ini tidak meletakkan masanya di rumah makin banyak. Ironinya, semakin jarang beliau di rumah kerana ingin menaikkan prestasi sekolah. Demi SPM beliau lebih berusaha daripada pelajar itu sendiri, beliau akan pergi seawal 6 untuk menghadiri kelas 6 :30 pagi, pulang pukul 6 kemudian keluar semula selepas maghrib untuk kelas tambahan Matematik Tambahan. Kerja ini lebih banyak daripada seorang CEO yang gajinya berjuta juta. Bagi sesetengah pihak, hujung minggu adalah waktu berehat dan bersama keluarga. Namun setiap sabtu, pasti beliau ada hal di sekolah ataupun kelas tambahan. Beliau sangat aktif dalam hal kokurikulum pelajar, pelajar menganggapnya sebagai seorang yang ‘garang’ namun sangat baik. Perwatakan ini menjadikannya, dihormati dan masih senang didekati. Dedikasnya menjadikan pelari dari rumah sukannya boleh menang di saat saat akhir kerana teriakan dan kesungguhannya yang mampu mengubah pemikiran pelajar. Pada tahun 2019, kedudukan SMAP, Kajang telah berubah secara drastik daripada 23 ke nombor 11. Penyumbang terbesar ialah Cikgu Rafidah. Hal ini kerana, beliau telah mengambil semua kelas hujung dan telah menukarkan daripada pelajar Straight D kepada pelajar yang merasai manisnya kejayaan dengan berjaya memperolehi A dan B rata-ratanya. Ini bukan biasa-biasa kerana bukan sahaja telah mengubah gred mereka, tapi telah menunjukkan mereka ‘kegagalan bukanlah selama-lamanya’ dan hubungan antara Cikgu Rafidah bukan sekadar guru tapi wira SPM mereka. Dan jelas kelihatan yang lebih mengembirakan apabila purata semua lulus dalam Matematik Tambahan ada 100% buat pertama kalinya. Jelaslah Cikgu Rafidah bukan seorang guru yang hanya mengikut manual tapi melakukan anjakan paradigma dalam diri pelajar. Dan beliau jugalah yang mengubah hidupku. Yang masih kuat mempercayai, diriku bukan BODOH dan sentiasa menyokong tidak kira dalam apa bidang pun. Akhir kata, jika Anugerah ini tidak dapat diperolehi olehnya, jelaslah bagi Cikgu Rafidah, tidak perlu “ public figure” diberikan kepadanya tapi cukup perubahan drastik dalam diri pelajar lebih utama kerana saya lihat bertapa gembiranya apabila suasana itu berlaku. Senyuman yang dipancarkan saat pelajarnya mendapat keputusan SPM tidak akan pernah dapat dibeli dan kerut di wajahnya tidak pernah dapat dibandingkan dengan pengalaman orang lain. Cikgu Rafidah, beliau adalah pembakar semangat, ‘influencer’ sejak tahun 90-an dan ‘kunci’ kepada mangga kehidupan kami semua.