Nominees

Mrs NUR SAKINAH BINTI JONIT

From SK KULAI KAMPUNG MELAYU

Mrs NUR SAKINAH BINTI JONIT's photo

Nominated by MUHAMMAD NABIL HALIMI BIN MOHD NASIR

Semasa saya di Tahun 6, 2017 saya hanyalah seorang murid yang biasa-biasa sahaja. Cikgu Sakinah iaitu guru kelas pun saya lihat pandang saya biasa-biasa sahaja. Saya je fikir begitu, tapi beliau sebenarnya guru yang memandang semua murid itu berpotensi. Saya suka usahanya yang sangat jelas hingga sanggup menjalankan kelas matematik pada waktu malam untuk kami. Saya faham dengan kesibukan beliau. . Pada Julai 2017 iaitu 2 minggu sebelum Ujian Percubaan UPSR saya jatuh sakit. Saya dimasukkan ke hospital kerana perlu menjalani pembedahan membuang apendik. Begitulah ibu saya kata pada awalnya. Cikgu Sakinah sangat risau dan segera melawat saya di hospital. Beliau beri saya kata-kata semangat. Namun keadaan saya semakin teruk apabila saya sebenarnya disahkan menghidapi Kanser buah pinggang dan Wilms Tumor. Saya menangis takut dan sangat sedih. Saya lihat Cikgu Sakinah menahan dari menangis dan memeluk ibu saya. Namun beliau kelihatan tenang tidak mahu saya patah semangat. Beliau tidak memaksa jika saya tidak mampu untuk menghadapi peperiksaan kerana kesihatan lebih utama. Sepanjang saya mengharungi hari-hari yang sedih dan kimoterapi yang menyiksakan beliau tetap hadir dengan membawakan setelah mengumpul soalan-soalan ujian, soalan ramalan dan kiriman nota dari guru-guru lain. Pernah beliau datang dalam kehujanan kerana ingin segera sampaikan fail ke tangan saya. Satu hari yang sangat saya terharu ialah beliau kirimkan video dan gambar-gambar ucapan semangat dari semua rakan untuk saya bersemangat menghadapi UPSR berseorangan di katil hospital. Rupanya sayang juga beliau pada murid yang biasa-biasa ni. Selesai UPSR, saya menjalani pembedahan membuang buah pinggang yang rosak kerana kanser. Keadaan cukup kritikal kerana telah merebak ke organ lain. Doa ibubapa sentiasa mengiringi saya. Pada November saya datang ke sekolah demi keputusan yang keluar pada hari itu. Alhamdulillah keputusan UPSR saya cukup baik bagi saya. Cikgu Sakinah menangis melihat saya hadir ke sekolah semasa hari pengumuman keputusan UPSR. Kini saya berada di Tingkatan 2 dan beliau juga telah berpindah sekolah. Namun keazaman beliau dalam membina potensi saya dan mengalihkan kesengsaraan saya dari kesakitan kepada semangat juang menjelaskan nilai murni yang beliau semaikan. Ia sentiasa menjadi inspirasi kepada saya untuk melakukan perkara yang sama jika saya berpeluang begitu. Tidak keterlaluan jika saya lihat beliau sentiasa menghormati yang tua dan menyantuni yang muda. Mudah mudahan hidup beliau sentiasa dilimpahi rahmat.