McDonald’s Malaysia dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Jalin Kerjasama Bina Hab Pembekalan Lengkap
18 Aug 2023

KOTA KINABALU, 18 OGOS 2023 – McDonald’s Malaysia dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalinkan satu kerjasama yang akan menyaksikan pemerolehan empat ekar tanah di kawasan milik KKIP bagi pembinaan hab pembekalan makanan yang lengkap untuk syarikat khidmat segera tersebut di Malaysia Timur.

Hab ini akan melibatkan tiga pembekal utama McDonald’s Malaysia, yang akan mendirikan kilang, gudang dan pusat penghantaran. Para pembekal ini adalah Bimbo QSR bagi bekalan roti bun; Tyson Foods bagi bekalan makanan seperti sayuran dan untuk jangka panjang, bekalan protein seperti nuget dan kepingan daging; dan HAVI Logistics sebagai syarikat pengedar utama yang akan menyediakan kemudahan bagi penghantaran bekalan ke seluruh restoran McDonald’s di Sabah dan Sarawak.

“Hab pembekalan ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, khusus bagi memenuhi keperluan restoran-restoran kami di Sabah dan Sarawak. Ia dibina berkonsepkan ‘Food Town’ dengan syarikat pembekal kami beroperasi secara bersepadu di bawah satu bumbung. Selain melancarkan lagi pengurusan bekalan di Malaysia Timur, hab ini mampu mengurangkan kos bekalan selain menjimatkan masa bekalan diterima dari Semenanjung Malaysia. Penyediaan fasiliti yang lengkap di KKIP mampu memantapkan lagi penyampaian para pembekal kami, seiring dengan rancangan pertumbuhan McDonald’s di Malaysia Timur,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman ini ditandatangani oleh Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia; Yang Berhormat Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri Sabah merangkap Pengerusi Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP); Natasha Galavotti, Naib Presiden Transformasi Global, Bimbo QSR; Victor Sim, Naib Presiden, Unit Perniagaan Malaysia, Tyson Foods; dan Dominic Alexander Lopez, Timbalan Pengurus Besar, HAVI Logistics Malaysia, sambil disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.

“KKIP sangat mengalu-alukan McDonald’s Malaysia dan para pembekalnya di sini, apatah lagi pembinaan hab pembekalan ini membawa signal positif bagi pertumbuhan sosioekonomi Sabah. KKIP sentiasa bersedia menyokong syarikat tempatan mahupun antarabangsa yang datang melabur di sini dengan adanya kepelbagaian sumber yang diperlukan seperti bahan mentah, infrastruktur dan lain-lain lagi. Ini bertepatan dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah yang ingin menjadikan Sabah sebagai negeri perindustrian menjelang 2030,” kata Yang Berhormat Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri Sabah dan Pengerusi Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Dalam majlis sama, McDonald’s Malaysia turut membuat pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk diagihkan kepada golongan asnaf di Sabah.

“Sebagai sebuah syarikat yang pemegang saham terbesarnya adalah orang Islam, pembayaran zakat perniagaan sudah menjadi kewajipan kami saban tahun. Pembayaran zakat ini juga bertepatan dengan teras syarikat yang sangat mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat. Besar harapan kami dapat mengembangkan lagi perniagaan di negeri ini dan seterusnya memberi manfaat kepada komuniti di sini,” tambah Dato’ Azmir.

Sehingga kini, terdapat 353 restoran McDonald’s di seluruh Malaysia termasuklah 16 restoran di Sabah, dimana salah satunya adalah McDonald’s Pandu-Lalu Jalan Sulaman 2, yang turut dirasmikan pembukaannya dalam majlis yang sama. Khusus untuk negeri Sabah, McDonald’s mensasarkan pembukaan 36 restoran baharu sehingga tahun 2030. 

###

Previous Article
McDonald’s Malaysia Laksana Inisiatif #MekdiBelanjaRider, Hargai 65,000 Penunggang Penghantaran dengan Hidangan Percuma
KUALA LUMPUR, 17 OGOS 2023 – McDonald’s Malaysia menawarkan set hidangan percuma kepada 65,000 penun...
Next Article
Program Perantis Vokasional McDonald’s Perkasa Belia Malaysia, Lahirkan Tenaga Kerja Mahir Bidang Perkhidmatan Makanan
PUNCAK ALAM, 25 September 2023 – Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s Kali Ke-4 telah di...