EN | BM



Kuala Terengganu, 28 Januari 2016 – 
McDonald's® Malaysia hari ini menyampaikan sumbangan berbentuk sebuah taman permainan atau “playland” kepada Pusat Harian Kanak-Kanak Istimewa (PDK) Bandar Marang. Satu majlis penyerahan sumbangan telah diadakan bersempena dengan pembukaan rasmi taman permainan tersebut di sini. 

Projek ini yang melambangkan komitmen berterusan McDonald's® dalam membantu masyarakat setempat merupakan usaha Encik Azmi Jusoh, pemilik francais McDonald's® di Kuala Terengganu. “Saya berharap sumbangan sebegini dapat menceriakan kanak-kanak di pusat ini. Kini mereka mempunyai sebuah ‘playland’ untuk mereka bermain setiap petang bagi menghiburkan hati,” kata Encik Azmi Jusoh.

PDK ini yang ditubuhkan pada 15 Jun 1996, berada di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang dan dikendalikan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Pusat tersebut yang dahulunya hanya mempunyai 15 orang pelatih OKU, kini mempunyai 70 orang pelatih yang berdaftar dengan JKM dan mempunyai kad OKU. 

“Kami gembira dengan komitmen dan keprihatinan pemilik francais kami Encik Azmi Jusoh, yang tidak jemu menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang bermanfaat untuk komuniti setempat di sekitar Kuala Terengganu ini,” kata Encik Khairul Azmi Rezo, Pengarah Perhubungan Kerajaan, McDonald's® Malaysia. 

PDK Bandar Marang juga merupakan Pusat Khidmat Setempat Orang Kurang Upaya yang turut menyediakan pelbagai jenis kemudahan lain untuk golongan istimewa yang mengalami masalah Austime, masalah pembelajaran, anggota hyperaktif dan hipotonik tanpa mengira had umur. 

McDonald's® adalah sebuah badan korporat yang menjalankan program-program kemasyarakatan (CSR) berterusan demi membantu membela nasib golongan yang memerlukan. Baru-baru ini, McDonald's® Malaysia telah mengadakan acara bersama-sama selebriti tempatan seperti Amyra Rosli, Elfira Loy, Fattah Amin dan Zain Saidin dalam sebuah program televisyen bertajuk Lari bersama Prosperity di mana McDonald's® menyumbang sebanyak RM5,000 setiap satu kepada empat buah rumah kebajikan yang terpilih. 

Kempen amal sebegini diadakan setiap tahun untuk menggalakkan bukan sahaja warga McDonald's®, tetapi juga orang ramai untuk lebih cenderung melakukan aktiviti-aktiviti amal yang dapat membantu golongan yang memerlukan.